Home Sukan Gara-gara ACL 3 kali, pemain buka akademik bola

Gara-gara ACL 3 kali, pemain buka akademik bola

Shaik Awish Alkirani pernah ditimpa kecederaan ACL sebanyak tiga kali.

PULAU PINANG – Karier sebagai pemain bola sepak profesional berisiko jika gagal mengekalkan prestasi terbaik hingga menyebabkan disingkirkan oleh pasukan dan perlu mencari haluan baharu pada musim depan.

Itu belum lagi berdepan kecederaan yang panjang. Malah paling ditakuti oleh pemain bola atau ahli sukan lain adalah kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL). Ini kerana kecederaan ini akan mengambil tempoh masa yang lama untuk pulih hingga setahun.

Dan jika pulih sepenuhnya, pemain bola tersebut terpaksa bergelut dengan masa untuk mendapat prestasi dan stamina asal yang dikhuatiri gagal mencapai 100 peratus seperti keadaan sebelum ditimpa kecederaan.

Malah rekod ACL yang dimiliki membuat nasib seorang pemain terumbang-ambing apabila terdapat pasukan risau untuk mengambil mereka dan mungkin hanya menawarkan kontrak yang pendek kerana kecederaan itu boleh berulang semula.

Bagi pemain Perlis FA, Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib, dia nekad untuk bersara daripada dunia bola sepak walaupun baru berusia 25 tahun.

PHOTO-2018-08-31-16-37-56
Shaik Awish Alkirani menubuh Akademi Bola Sepak Wira Muda.

Selain pernah ditimpa kecederaan ACL sebanyak tiga kali, anak kelahiran negeri ini juga berdepan dengan gaji tertunggak selama empat bulan bersama pasukan yang beraksi dalam Liga FAM itu musim ini.

Mesra dipanggil Awish, dia akan menubuh Akademi Bola Sepak Wira Muda dalam usaha mencungkil kanak-kanak yang berbakat dan bercita-cita tinggi untuk dijadikan pemain profesional bermula usia enam tahun hingga 12 tahun.

Jelasnya, akademi tersebut yang berdaftar di bawah Kementerian Belia dan Sukan berbeza dengan akademi bola sepak yang lain  kerana para jurulatihnya merupakan bekas pemain pemain Liga Super dan mempunyai penglaman luas dalam dunia bola sepak .

“Objektif utama saya sebagai salah satu usaha membantu meningkatkan kembali imej bola sepak Pulau Pinang dan kebangsaan dengan mencungkil bakat baharu yang lebih berpontensi khususnya di peringkat akar umbi.

“Saya juga berhasrat menjadikan sukan bola sepak ini sebagai salah satu pentas kerjaya dan seterusnya membabitkan diri sehingga ke fasa yang lebih tinggi dengan menjadikan Akademi Bola Sepak Wira Muda sebaris dengan akademi luar negara serta meningkatkan taraf bola sepak di Pulau Pinang.

pix ak
Akademi Bola Sepak Wira Muda bertujuan mencungkil kanak-kanak yang berbakat dan bercita-cita tinggi untuk dijadikan pemain profesional bermula usia enam tahun hingga 12 tahun.

Awish sebelum ini pernah mewakili pasukan Piala Presiden Pulau Pinang, Real Mulia, PKNP FC dan MOF FC.

Dia menambah, penyertaan kini dibuka untuk ibu bapa menghantar anak mereka dengan sesi pertama latihan bermula 6 Oktober depan di Padang Awam Jawi.

Katanya, sesi latihan akan diadakan setiap Sabtu dan Ahad setiap minggu selain para pelatih akan didedahkan dengan klinik video bola sepak dan sesi mandi ais dari peringkat awal untuk menjadi pemain profesional.

Sementara itu, ibu bapa yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 0149027646 (Awish), 0134270590 (Faiz) dan dan 0175958207 (Rafiqi). – MalaysiaGazette