Home Ekonomi Kerajaan akan pastikan RCEP bermanfaat kepada ekonomi rakyat

Kerajaan akan pastikan RCEP bermanfaat kepada ekonomi rakyat

Darell Leiking

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bukan sahaja boleh menggalakkan perdagangan terbuka tetapi satu bentuk perdagangan adil yang memberi faedah ekonomi kepada rakyat.

RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas antara 10 negara ASEAN yang turut membabitkan Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking berkata, setakat ini Malaysia masih belum membuat sebarang komitemen dan belum ada ratifikasi perjanjian berkenaan.

“Kita belum membuat sebarang komitmen. Perjanjian itu juga belum dimuktamadkan dalam kalangan negara ASEAN,” katanya yang menjadi delegasi Malaysia dalam Mesyuarat Menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-51 di Singapura.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Malaysia akan menyertai RCEP apabila ia mampu memberi manfaat kepada negara.

Dr Mahathir juga memaklumkan kerajaan belum memberi sebarang keputusan mengenai perkara itu

Darell turut mengadakan perjumpaan dengan pemimpin perniagaan ASEAN untuk bertukar pandangan bersama semua negara anggota bagi mendapatkan pandangan dan mendalami setiap terma yang dibentangkan, selaras dengan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri.

ASEAN dan rakan dialog lain yang terlibat dalam perjanjian itu berusaha untuk mencari kesepakatan berkenaan RCEP.

Sekiranya diratifikasi, RCEP dijangka meningkatkan pelaburan dalam negara yang akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat, disamping memastikan pelaburan diluar negara tidak terjejas.

Pada masa yang sama, RCEP juga berpotensi untuk membantu industri negara termasuk industri kecil sederhana untuk memudahkan eksport produk keluaran sektor itu ke luar negara. – MalaysiaGazette