KAJANG – Seorang kakitangan pembersihan di sebuah hotel di Dataran C180 Balakong berdepan detik cemas apabila menemui mayat lelaki dalam sebuah bilik di premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan daripada kakitangan hotel berkenaan yang memaklumkan mengenai penemuan lelaki berusia 29 tahun itu kira-kira pukul 8.50 pagi tadi.
“Pihak IPD Kajang telah menerima maklumat seorang lelaki terbaring di dalam bilik sebuah hotel di Dataran Balakong dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Maklumat tersebut telah dimaklumkan oleh salah seorang pekerja hotel yang membuat pembersihan di dalam bilik hotel tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata, berdasarkan pemeriksaan awal, polis mendapati terdapat buih putih pada hidung dan mulut mangsa namun, tiada kecederaan lain pada bahagian badannya.
Tambah beliau, siasatan awal di lokasi mayat mangsa ditemui tidak menemukan sebarang senjata yang boleh mengaitkan kes itu dengan kejadian jenayah.
“Semakan ke atas mangsa mendapati tiada sebarang rekod lampau atau dikehendaki polis.
“Buat masa ini keluarga mangsa masih sedang di kesan untuk tujuan pengecaman mayat,” ujarnya.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya. – MalaysiaGazette