Home Politik 70 peratus pengundi didekati, sukar tentukan persepsi – MCA

70 peratus pengundi didekati, sukar tentukan persepsi – MCA

Chew Mei Fun
Chew Mei Fun

BALAKONG – Walaupun sudah 70 peratus pengundi didekati selepas 14 hari berkempen,  MCA mengakui masih sukar untuk merumuskan pihak mana yang mempunyai kelebihan menjelang Pilihan Raya Kecil pada 8 September ini.

Pengarah Kempen MCA bagi PRK DUN Balakong Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, pihaknya berdepan kesukaran membaca persepsi pengundi di separa bandar berbanding luar bandar.

“Kalau di kampung kita boleh kenalpasti menentukan sokongan pengundi tetapi separa bandar agak sukar untuk ditentukan sokongan untuk siapa.

“Setakat 14 hari berkempen ini, keadaan bertambah baik dan meyakinkan berdasarkan sokongan yang diterima semua lapisan masyarakat.

“Mulai hari ini calon kita Tan Chee Teong memasuki fasa baharu mendekati pengundi Melayu dan India secara bersemuka dan ini program pertama mendekati pengundi India di Seri Pulai Balakong Jaya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Beliau bersama Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong hadir ke program calon MCA bersama pengundi India bersempena kempen menjelang PRK pada 8 September ini.

Turut hadir Ahli Parlimen MIC-BN Cameron Highlands Datuk C. Sivarrajh.

Kata Mei Fun lagi, MCA dapat melihat perubahan tetapi bukan senang untuk menang memandangkan faktor peratusan keluar undi turut bakal mempengaruhinya seperti yang dibimbangkan calon DAP.

“Sebab itu saya sentiasa ingatkan jentera dan calon jangan cepat selesa dan alpha dengan situasi semasa, kerja keras untuk memujuk pengundi keluar beramai ramai pada hari mengundi,” katanya.

Sivarrajh yang juga Ketua Pemuda MIC Kebangsaan meminta pengundi India berfikir secara serius dan matang sebelum menterjemahkan sokongan mereka dalam bentuk undi pada hari mengundi Sabtu minggu hadapan.

“Ramai menganggap BN dan MIC sudah terkubur selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, tetapi saya ingin menegaskan BN masih kukuh dan teguh dengan semangat bersatu MIC, UMNO dan MCA.

“MIC dan MCA banyak membela nasib masyarakat Cina dan India selama 61 tahun seperti diakui Datuk Seri (Wee Ka Siong).Kita tak sedih sebagai blok pembangkang.

“Tapi kita hormati pilihan rakyat yang sudah tukar kerajaan Pusat. Kita perlukan pembangkang yang berhemah tinggi dan telus menegur semak dan imbang kerajaan memerintah Pakatan Harapan ini.

“Untuk itu kita perlukan pembangkang yang kuat membawa suara perjuangan masyarakat India di Balakong disamping membela semua bangsa menerusi Tan Chee Teong.

“Nilai apa yang DAP sudah lakukan selama dua penggal di Balakong menerusi negeri Selangor, kali ini kita membawa perubahan di Balakong demi kesejahteraan masyarakat di sini,” ujarnya. – MalaysiaGazette