Home Politik Jadikan Pusat Khidmat Masyarakat sebagai pusat sehenti

Jadikan Pusat Khidmat Masyarakat sebagai pusat sehenti

Halimey Abu Bakar
Halimey Abu Bakar

PETALING JAYA – Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia akan digemblengkan secara aktif supaya penduduk kawasan itu dapat menikmati faedah ditawarkan menerusi program dan polisi kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor.

Calon PH DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, beliau juga akan menambahbaik PKM itu menjadi pusat sehenti yang bertindak menjadi pengantara antara kerajaan negeri dan rakyat.

“Saya percaya kepada piagam pentadbiran kerajaan Selangor yang sentiasa mengutamakan hal kebajikan menerusi konsep Peduli Rakyat.

“Ini akan menjadikan Selangor bertambah maju dan rakyatnya pula mencapai tahap kehidupan yang lebih berdaya saing dan cemerlang berbanding era pentadbiran sebelumnya,” katanya pada sidang media hariannya di padang terbuka Desa Mentari dekat sini, hari ini.

Jelas Halimey, seawal pentadbiran Selangor bertukar tampuk kepimpinan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat (PR), kerajaan telah memperkenal dan melaksanakan program yang dikenali Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Ujar beliau, falsafah utama program itu ialah menguruskan hal ehwal pentadbiran dan hasil kerajaan negeri dengan penuh telus dan berintegriti.

Katanya, pelan pelaksanaan program MES itu dijayakan oleh pentadbir utama negeri seperti Menteri Besar, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan penuh amanah.

“Hasilnya sungguh memberangsangkan apabila rizab simpanan kerajaan negeri melonjak secara mendadak daripada RM1.2 bilion kepada RM3.6 bilion dan peningkatan itu berterusan sehingga hari ini.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, lebihan hasil yang diperolehi oleh kerajaan negeri dikembalikan semula kepada rakyat untuk dinikmati secara adil.

“Ia disalurkan dalam bentuk program kebajikan, pendidikan, bantuan perniagaan dan lain-lain yang memberi faedah serta manfaat kepada golongan marhaen,” katanya.

Bagaimanapun, tambah beliau, program MES itu kini dikenali sebagai Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan kerajaan negeri masih mengekalkan objektif serta fungsinya untuk membantu rakyat di negeri ini.

“Menariknya IPR ini, bermula dari lahirnya seorang anak Selangor, iaitu Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) sehingga ke akhir usianya, iaitu Skim Mesra Usia Emas.

“Jika saya diberi peluang sebagai ADUN Seri Setia, saya berjanji akan memberi komitmen di tahap tertinggi bagi memastikan semua polisi kerajaan ini berjalan lancar,” katanya. – MalaysiaGazette