Home Nasional Pegawai Imigresen cedera jatuh dari siling kejar PATI di Sepang

Pegawai Imigresen cedera jatuh dari siling kejar PATI di Sepang

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

SEPANG – Seorang pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen cedera selepas terjatuh dari siling ketika cuba menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi khas di kuarters pekerja kilang memproses sarung tangan getah di Bandar Baru Salak Tinggi di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, Nur Erra Ellina Zaharudin, 24, dari Unit Tindakan Imigresen Negeri Sembilan mengalami kecederaan di pinggang dan kaki setelah terjatuh daripada ketinggian kira-kira lima meter ketika mengejar seorang PATI wanita yang dikesan di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata pegawai wanita itu yang berumur lingkungan 20-an dikejarkan ke Hospital Putrajaya serta menjalani pemeriksaan imbasan x-ray, dan keadaan beliau dilaporkan stabil.

“Pegawai wanita itu sedang mengejar seorang PATI yang bersembunyi dan melarikan diri melalui siling tetapi tersalah pijak papan siling menyebabkan beliau terjatuh,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Operasi memburu PATI itu dilakukan selepas berakhir Program Penghantaran Pulang PATI Secara Sukarela (3+1) secara serentak di seluruh negara, Khamis lepas.

Dalam pada itu, Mustafar berkata seorang lelaki warga Bangladesh mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri semasa operasi gempur itu yang bermula kira-kira 12 tengah hari tadi.

Beliau, bagaimanapun berkata lelaki itu berjaya ditahan bersama pekerja asing yang lain di kilang tersebut untuk pemeriksaan lanjut.

Dalam operasi melibatkan 80 anggota dan pegawai Imigresen dari Putrajaya dan Negeri Sembilan itu, Mustafar berkata kira-kira 1,800 pekerja asing daripada syarikat pembuatan tersebut diperiksa dan akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya jika mereka tidak mempunyai dokumen sah.

“Bukan keseluruhan diperiksa adalah PATI. Kita melakukan pemeriksaan berkala. Ada kilang meletakkan pekerja asing sah semasa syif pagi tetapi pada syif malam, ada pekerja tidak sah. Kita akan meneruskan tindakan dan gerak gempur itu tanpa henti. Itu ketetapan Jabatan Imigresen.

“Kita akan gempur habis-habisan bagi mana-mana PATI yang masih lagi bergelandangan, berlambak dan berkeliaran. Tindakan ini bagi ‘merdekakan’ negara kita daripada PATI berikutan aduan daripada masyarakat yang letih dan lemas dengan kewujudan PATI,” katanya.

Beliau berkata sejak 1 Jan sehingga Khamis lepas (30 Ogos), 9,527 operasi pemeriksaan dijalankan di seluruh negara, dan 116,927 warga asing diperiksa menerusi Program 3+1.

Daripada jumlah yang diperiksa itu, 29,177 tangkapan dilakukan dan 880 majikan diambil tindakan, katanya.

Terdahulu, semasa operasi itu bermula, beberapa pekerja asing dlihat bertindak melarikan diri dengan memanjat pagar setinggi kira-kira tiga meter dan meredah kawasan cerun semak di bahagian belakang kilang berkenaan.

Pegawai Imigresen turut mengejar, namun gagal menahan mereka.

— BERNAMA