Home Politik MCA ‘tak ikhlas’, gagal fahami konsep semak dan imbang

MCA ‘tak ikhlas’, gagal fahami konsep semak dan imbang

Calon Pakatan Harapan N.27 Balakong, Wong Siew Ki bersalaman bersama pengunjung restoran sambil diiringi Timbalan Menteri Pertahana, Liew Chin Tong ketika sesi
Calon Pakatan Harapan N.27 Balakong, Wong Siew Ki bersalaman bersama pengunjung restoran sambil diiringi Timbalan Menteri Pertahana, Liew Chin Tong ketika sesi "walkabout" sempena kempen Pilihan Raya Kecil N. 47 Balakong di sekitar kawasan Sungai Chua, Kajang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 02 SEPTEMBER 2018

BALAKONG – MCA dianggap ‘tidak ikhlas’ apabila sering menggunakan taktik merayu undi bagi meraih simpati ketika berkempen.

Malah, parti itu juga disifatkan gagal dalam memahami konsep ‘semak dan imbang’ sebagaimana yang digunakan pada slogan mereka, kata calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki.

Menurut beliau, langkah merayu undi bukan lagi tatkik wajar dalam berkempen sebaliknya menyelami masalah penduduk yang merupakan pengundi adalah pendekatan utama perlu dititikberatkan.

“Pemimpin mereka YB Liow Tiong Lai dan YB Wee Ka Siong pernah berkata dalam ceramah mereka, berilah simpati sedikit kepada MCA.

“Mereka minta undi dan kasihan daripada pengundi. Saya rasa ini memang konsep yang salah,” katanya kepada media selepas mengadakan walkabout menemui pengundi di Kampung Baru, Sungai Chua di sini hari ini.

Hadir sama pada walkabout itu, Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Senator Liew Chin Tong dan Exco Kerajaan Negeri Selangor Ean Yong Hian Wah.

Sementara itu, Chin Tong berkata, untuk menjadi pembangkang yang konstruktif MCA seharusnya bersaing dari segi dasar.

Katanya, jika menjadi pembangkang yang hanya mengambil sikap menggunakan sentimen perkauman dalam meraih undi, ia tidak menunjukkan satu politik matang dan tidak baik kepada rakyat serta negara Malaysia yang baharu.

“Kalau MCA bersama dengan golongan moderate dalam UMNO dan bergabung dengan membawa mesej sederhana dan bermain dengan dasar, itu baik untuk kita semua.

“Itu kita boleh kata pembangkang yang konstruktif kerana ia boleh menjadi semak dan imbang kepada kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette