Home Nasional SST: Halimey mahu KPDNHEP pantau

SST: Halimey mahu KPDNHEP pantau

Halimey Abu Bakar
Halimey Abu Bakar

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digesa melakukan pemeriksaan berkala ke atas premis perniagaan sepanjang pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, usaha itu penting untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan termasuk menaikkan harga.

“SST baru bermula dan saya lihat semalam pun pihak KPDNHEP telah menjalankan serbuan dan pemeriksaan mengejut kepada semua premis perniagaan di semua negeri.

“Saya harap pemantauan dilakukan secara berkala oleh pihak berkuasa sebab ia baru dilaksanakan, mungkin pengguna dan pembeli masih terkejut malah ada juga peniaga-peniaga mengambil kesempatan,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Seri Jati, Ara Damansara, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pelaksanaan SST yang berkuat kuasa semalam dengan kadar antara enam dan 10 peratus ke atas jualan dan perkhidmatan di pasaran.

Kerajaan PH berharap pelaksanaan SST dapat meringankan beban rakyat memandangkan kerajaan hanya akan mengutip SST sebanyak​​​​​​​ RM21 bilion pada 2019 berbanding GST RM44 bilion.

Halimey juga berkata, beliau juga tidak terkecuali memantau pelaksanaan SST dan sehingga kini tiada aduan mahupun rungut diterimanya daripada orang ramai khususnya pengundi DUN Seri Setia.

“Kalau ada aduan mahupun rungutan, saya sedia bantu, tiada masalah kerana kita bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette