KUALA LUMPUR – Pelabur asing melupuskan sebanyak RM15.3 juta dari pasaran tempatan minggu lalu.
Ia merupakan aliran keluar paling rendah pada tahun ini.
MIDF Research berkata, pelabur-pelabur luar pesisir mencatatkan pelaburan masing-masing RM23.2 juta dan RM34.8 juta pada hari Isnin dan Selasa.
Prestasi itu dipacu oleh ulasan Rizab Persekutuan yang mahu menerus menaikkan kadar faedah, selain perjanjian awal yang dicapai oleh Amerika Syarikat dan Mexico untuk menggantikan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA).
Firma penyelidikan itu berkata, bursa tempatan telah menjejaki keuntungan di Wall Street dengan melonjak 0.84 peratus kepada 1,826.9 mata pada Selasa lalu.
Paras itu tidak pernah dilihat sejak akhir Mei tahun ini.
Bagaimanapun, pelabur asing melakukan pelupusan besar-besaran pada Rabu lalu pada jumlah RM121.6 juta – aliran keluar terbesar harian dalam enam hari dagangan kerana para pelabur menempah untung dan mengambil isyaray daripada dagangan semalaman di Wall Street.
MIDF Research menambah, aliran keluar bersih pelabur asing pada Ogos lalu mengecil kepada RM97.4 juta berbanding RM1.60 bilion pada Julai 2018.
Setakat Jumaat lalu, aliran keluar dari Malaysia masih kekal RM8.60 bilion, kedua paling rendah dalam empat pasaran ASEAN.
Walaupun ada cuti umum pada minggu lalu, pelabur asing tetap aktif dengan nilai purata dagangan harian (ADTV) 7.7 peratus lebih tinggi pada RM1.24 bilion – melepasi RM1 bilion untuk minggu ketujuh.
Pasaran runcit dan dana institusi tempatan juga positif dengan ADTV masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 2.6 peratus dan 11.2 peratus. – MalaysiaGazette