Home Politik Hilang integriti: Tommy Thomas wajar letak jawatan

Hilang integriti: Tommy Thomas wajar letak jawatan

Idris Ahmad
Idris Ahmad

SHAH ALAM – Pas mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas meletakkan jawatan susulan integritinya yang kini tercalar selepas Lim Guan Eng dibebaskan daripada pertuduhan rasuah di mahkamah.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, jika Tommy merasakan tindakan membebaskan pertuduhan Menteri Kewangan itu mempunyai kepentingan tertentu, beliau wajar melepaskan jawatan.

“Kita minta Tommy Thomas yang disebut sebagai orang yang mempunyai integriti tinggi dalam bidang perundangan dan kalau dia merasakan lebih dia berundur diri daripada (jawatan) peguam negara.

“Selama ini nama beliau agak hebat, tiba-tiba dalam kes ini namanya terpalit, maka satu tindakan boleh dibuat oleh beliau sendiri,” katanya pada sidang media di pejabat Badan Perhubungan Pas Selangor, di sini, hari ini.

MGF03092018_WALKABOUT CALON PAS_08
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad bercakap pada sidang media diiringi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Abduh Nik Aziz (kanan) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Pejabat Badan Perhubungan PAS Selangor, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 03 SEPTEMBER 2018

Awal hari ini Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Hadhariah Syed Ismail melepas dan membebaskan Guan Eng, 58, dan ahli perniagaan Phang Li Koon, 46 daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Ini berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Guan Eng dan Datuk V.Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Phang supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Idris seterusnya berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sewajarnya bukan hanya memberi reaksi terkejut sahaja terhadap keputusan mahkamah itu sebalik membuka semula kertas siasatan.

“Pihak yang terlibat boleh menyaisat apakah di sana ada kepentingan atau pun tidak dalam kes penarikan yang berlaku pada siang tadi,” katanya.

Katanya, walaupun Tommy tidak mewakili kumpulan pendakwaan, namun keputusan Jabatan Peguam Negara  untuk tidak meneruskan pendakwaan ke atas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu merupakan satu keputusan berkepentingan.

“Ini memberi gambaran bahawa keputusan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan pendakwaan terhadap Guan Eng merupakan satu keputusan yang berkepentingan,” katanya.

Katanya lagi, SPRM perlu mendapat autonomi atau kebebasan dalam menyiasat atau mendakwa sebarang kes rasuah di Malaysia.

“Agak mendukacitakan apabila SPRM mengeluarkan kenyataan terkejut dengan keputusan Jabatan Peguam Negara pada hari sama, seolah-olah keputusan tersebut bercanggah dengan siasatan dan saranan SPRM bagi kes ini.

“Pas berharap prinsip kedaulatan undang-undang dan layanan adil melalui sistem kehakiman bagi semua individu di Malaysia perlu ditegakkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan melalui tindakan dan bukan sekadar janji retorik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.