KUALA LUMPUR – Kerajaan persekutuan digesa melaksanakan larangan perkahwinan di bawah umur dengan segera.
Senator Dewan Negara, Lim Hui Ying berkata, tidak wajar untuk kerajaan ‘berpeluk tubuh’ tanpa membukikan wujudnya inisiatif untuk mengekang perkara ini sekiranya ibu bapa gagal berbuat demikian.
“Saya menyeru kerajaan agar mempercepatkan proses perkahwinan bawah umur di kalangan rakyat Malaysia.
“Jika ibu bapa gagal untuk melindungi anak-anak mereka, maka menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengambil alih peranan tersebut sebagai pelindung mereka.
“Jika kerajaan pula berpeluk tubuh, ataupun berlengah-lengah maka kita telah gagal dalam tugas penting ini,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) hari ini.
Menyentuh insiden perkahwinan kanak-kanak berumur 11 tahun dengan lelaki 41 tahun di Kelantan sebelum ini, Hui Ying menyifatkannya sebagai kes berprofail tinggi apabila mendapat perhatian pelbagai pihak.
Tambah beliau, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mencatatkan jumlah perkahwinan bawah umur dalam kalangan orang Islam sebanyak 10,000 manakala bukan Islam 4,999 membuktikan perkara ini merebak dalam negara dan memerlukan tumpuan yang lebih spesifik daripada kerajaan.
“Berdasarkan statistik terkini Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam masa 10 tahun di antara 2007 hingga 2017, perkahwinan bawah umur bagi Islam mencecah 10,000 kes manakala bukan Islam 4,999 kes.
“Kes ini telah menjadi kes berprofail tinggi dan mendapat banyak perhatian. Namun daripada statistik JKM di atas, jelas berlaku insiden di mana kanak-kanak perempuan dikahwinkan secara paksa tetapi dalam diam, bagaimana pula dengan kehidupan mereka nanti,” tambahnya.
Untuk rekod, Mahkamah Syariah di negeri Kelantan bertindak mendenda seorang lelaki tempatan sebanyak RM1,800 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang berpunca daripada pernikahannya dengan budak perempuan berusia 11 tahun di Thailand tanpa kezinan dua isterinya.
Di Thailand pula seorang pegawai kerajaan dilaporkan berkata bahawa tidak banyak yang boleh dilakukan untuk membatalkan perkahwinan itu kerana pasangan tersebut dinikahkan mengikut undang-undang Islam oleh imam tempatan. -MalaysiaGazette