Home Nasional Kini nama saya bersih dari fitnah rasuah, kata Guan Eng

Kini nama saya bersih dari fitnah rasuah, kata Guan Eng

LGE
Lim Guan Eng

GEORGE TOWN – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini melahirkan rasa syukur selepas dibebaskan dari tuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Lim dalam nada sayu dan terharu ketika ditemui pemberita di luar mahkamah mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga apabila namanya kini bersih dari sebarang palitan rasuah.

“Saya amat bersyukur bahawa sesuatu pendakwaan terpilih dan juga yang telah membawa banyak tekanan kepada saya, keluarga saya juga kepada Phang (Phang Li Koon) yang turut berdepan pertuduhan rasuah) akhirnya tamat.

“Kini kami boleh membersihkan nama kami, kita tahu itu bermula dari rejim lama. Hari ini sebenarnya saya dan Phang bersiap sedia untuk apa-apa saja kemungkinan.N amun saya amat bersyukur kepada Tuhan, bersyukur dengan barisan peguam saya, ahli keuarga saya yang sentiasa berdiri bersama saya, serta kepada penyokong -penyokong yang sering bersama saya,”katanya.

Lim yang kini Menteri Kewangan berkata beliau kini mampu menarik nafas lega apabila bebas daripada tuduhan fitnah dan akan mengadakan majlis bagi meraikan kemenangan itu.

Beliau berkata tumpuan selepas ini adalah beliau akan bersungguh-sungguh meneruskan tugas penting bagi menyelamatkan ekonomi Malaysia.

“Saya akan teruskan kerja lebih penting iaitu untuk menyelamatkan ekonomi Malaysia dan membawa satu perubahan yang lebih baik untuk masa depan anak-anak kita.

“Saya juga juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sungguhpun saya telah difitnah dengan tuduhan-tuduhan demikian, mereka masih menyokong kuat kepimpinan saya, terima kasih pada parti saya, barisan kepimpinan yang bersama saya , tidak pernah meragui dan mempersoalkan saya adalah pemimpin yang bersih,” katanya.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini membebaskan Lim dan Phang daripada pertuduhan rasuah yang dihadapi mereka berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan dan memohon perintah supaya kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan.

Bagaimanapun peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim dan Datuk V.Sithambaram bertindak bagi pihak Phang memohon supaya anak guam mereka dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan itu.

Di luar mahkamah kedua-dua peguam itu memberitahu media bahawa pihak pembelaan menyambut baik serta amat mengalu-alukan keputusan mahkamah yang membebaskan anak guam mereka.

— BERNAMA