KUALA LUMPUR – Pelakon Zizie Ezette mengakui dia tidak dapat menyembunyi rasa bimbang dan takut untuk melalui proses melahirkan bayi dengan kaedah pembedahan sekali lagi.
Namun Zizie, 39, berkata, doktor memberi jaminan dia selamat untuk mengandung semula selepas lima bulan bersalin.
“Saya sentiasa mahukan anak lagi tapi saya tidak jangkan ia terlalu awal. Ia hanya lima bulan selepas bersalin dengan pembedahan.
“Bimbang, takut semua ada, yerlah perut nak kena potong lagi, tapi pakar memberitahu saya selamat untuk mengandung kembali,” ujarnya di Instagramnya.
Minggu lalu, isteri kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendedahkan dirinya sedang hamil anak ketiga hanya selepas sembilan bulan melahirkan kembar lelaki pada Disember tahun lalu.
Zizie memberitahu kandungannya kini sudah memasuki usia tiga bulan termasuk gambar kit ujian kehamilan yang menunjukkan dua jalur merah menandakan dia hamil.
Sementara itu, Zizie berkata, dia telah mendapatkan nasihat daripada pakar berkaitan hal hamil kali kedua dalam tempoh waktu dekat dengan proses kelahiran ini secara pembedahan.
“Betul memang ada risiko tapi tak kan nak gugurkan pula bila doktor cakap okey untuk mengandung lagi.
“Jadi kita harap dan doakan yang terbaik sahaja,” katanya.
Pada 29 Disember tahun lalu, Zizie selamat melahirkan anak kembar yang diberi nama Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette menerusi pembedahan.
Aktres itu turut mempunyai dua anak angkat Naila Nurjenna, 3, dan Aaric Zayn Izette, setahun.
Zizie berkahwin dengan Bung, 58, pada 2009. – MalaysiaGazette