Home Nasional Tokoh sastera dan budaya perlu setaraf dengan agamawan – Yusmadi Yusoff

Tokoh sastera dan budaya perlu setaraf dengan agamawan – Yusmadi Yusoff

Mohd Yusmadi Yusoff
Bekas anggota parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff mengangkat sumpah sebagai ahli dewan negara pada persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 27 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Peranan tokoh-tokoh budaya dan sasterawan negara perlu dimanfaatkan dalam pembangunan negara, demikian pendirian Senator Dewan Negara Yusmadi Yusoff.

Sepertimana penglibatan tokoh agama, sasterawan dan tokoh budaya juga, menurut beliau, perlu diberikan tempat dalam perancangan dasar negara berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

“Saya sebagai pimpinan muda yang risau akan aspek kebudayaan dalam pembangunan negara belum terlambat untuk mencadangkan memanfaatkan tokoh-tokoh budaya Malaysia untuk mereka membantu Malaysia baharu.

“Kita perlu libatkan sasterawan yang ada seperti mana kita libatkan tokoh agama di peringkat negeri contog ada jadi exco,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Tambahnya, tokoh-tokoh sasterawan seperti A. Samad Said dan Datuk Dr. Baharudin Zain pernah menyuarakan kebimbangan terhadap aspek bahasa dan budaya dalam negara.

Sehubungan itu katanya, kelemahan dari aspek tersebut akan dapat ditangani dengan adanya tokoh-tokoh tersebut dalam kerajaan.

“Saya mencadangkan juga agar Kementerian Pendidikan melibatkan sasterawan-sasterawan negara terutamanya mereka-mereka yang masih lagi aktif seperti A. Samad Said , Datuk Dr. Baharudin Zain kerana pada satu dialog mereka telah menyatakan kerisauan mereka mengenai aspek bahasa dan budaya di dalam dasar negara,” jelasnya.

Terdahulu Menteri Pendidikan Dr Mazlee Malik berkata kerajaan  akan menubuhkan Majlis Bahasa Melayu yang berperanan untuk menyebar luas dan mengiktiraf Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) di dalam dan luar negara.

Ujarnya, penubuhan majlis tersebut merupakan antara langkah yang akan diambil kerajaan dalam tempoh lima tahun ini untuk terus memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan memberikannya peranan yang lebih proaktif setaraf dengan pusat serta institusi bahasa di negara maju.

Mazlee berkata demikian menjawab soalan Dr. Mohd Nor Monuty tentang perancangan kerajaan untuk merombak Dewan Bahasa dan Mustaka (DBP) supaya setara dengan institusi antarabangsa seperti British Council di United Kingdom (UK) dan Goethe-Institut di Jerman.- MalaysiaGazette