Home Ekonomi HSR: Singapura harap capai keputusan yang boleh diterima kedua-dua pihak

HSR: Singapura harap capai keputusan yang boleh diterima kedua-dua pihak

SINGAPURA – Singapura berharap dapat mencapai keputusan mengenai Projek Keretapi Laju (HSR) yang dapat diterima kedua-dua negara tidak lama lagi, demikian menurut Kementerian Pengangkutan republik itu.

Jurucakap kementerian tersebut berkata, kedua-dua pihak sedang berbincang mengenai permintaan Malaysia untuk menangguhkan projek yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu.

“Kami berharap dapat mencapai keputusan yang dapat diterima kedua-dua negara tidak lama lagi,” kata jurucakap itu dalam jawapan e-mel kepada Bernama hari ini.

Kementerian itu diminta memberi respons kepada laporan bahawa Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menangguhkan projek tersebut.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali awal hari ini dilaporkan berkata, keputusan itu berikutan keadaan ekonomi semasa Malaysia.-BERNAMA