Home Utama Peguam Negara tak pengaruhi keputusan kes Guan Eng

Peguam Negara tak pengaruhi keputusan kes Guan Eng

LGE
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara hari ini menjelaskan pihak pendakwaan membuat keputusan nolle prosequi (tidak meneruskan pendakwaan) terhadap Lim Guan Eng dan Phang Li Koon tanpa sebarang penglibatan Peguam Negara atau pengaruh luar.

Ia selari dengan kenyataan yang dibuat oleh Peguam Cara Negara, Datuk Engku Faizah Engku Atek dan Peguam Cara Negara II, Datin Paduka Zauyah Be Loth Khan pada 2 Ogos lalu bahawa Peguam Negara, Tommy Thomas telah menarik diri daripada semua perbincangan berkaitan kes tersebut dan tidak akan terlibat dalam membuat sebarang keputusan yang bakal dibua oleh jabatan itu.

Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria berkata, beliau telah diberi tanggungjawab untuk membuat keputusan berhubung representasi yang dibuat oleh Guan Eng dan Li Khoon memandangkan beliau tidak pernah terlibat dalam kes tersebut.

“Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara telah mengambil pendekatan ‘fresh eye’,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pendakwa Raya berkata, setelah diberi penugasan tersebut, beliau telah meneliti keterangan-keterangan berdasarkan penyiasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan saksi-saksi pendakwaan di mahkamah yang telah diuji dengan pemeriksaan balas.

Hasil penelitian itu, Mohamad  telah membuat kesimpulan bahawa hasil pemeriksaan balas yang dilakukan terhadap saksi-saksi pendakwaan, keterangan yang menyokong pertuduhan pertama di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan pertuduhan kedua di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan telah dilemahkan secara substantif.

Kesimpulan itu berdasarkan keterangan baharu yang timbul semasa pemeriksaan balas terhadap saksi-saksi pendakwaan.

Setelah membuat kesimpulan tersebut, Mohamad berpandangan beliau tidak memenuhi tanggungjawab saya sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk membiarkan kes diteruskan setelah mengetahui kes Guan Eng dan Li Koon tidak akan berjaya pada akhir kes pendakwaan.

“Maka saya membuat keputusan supaya pihak pendakwaan nolle prosequi pertuduhan-pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh berdasarkan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

“Walaupun pihak pendakwaan memohon mahkamah satu perintah ‘perlepasan tanpa terjumlah kepada pembebasan’, mahkamah telah memutuskan untuk satu perintah pelepasan dan pembebasan.

“Keputusan mahkamah dibuat berdasarkan permohonan pihak pembelaan dan telah dibuat mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah,” katanya sambil memaklumkan amalan nolle prosequi bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Kenyataan empat muka surat itu dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara petang ini berikutan keputusan melepas dan membebaskan Menteri Kewangan dan ahli perniagaan wanita itu telah menyebabkan SPRM amat terkejut.

Malah, keputusan tersebut mengejutkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin politik termasuk dalam kalangan Pakatan Harapan, selain Barisan Nasional dan rakyat Malaysia yang mengikuti kes berkenaan.

Susulan daripada keputusan itu, banyak pihak mengecam Jabatan Peguam Negara dan menuntut penjelasan penuh berhubung keputusan penarikan semula kes berkenaan.

Mohamad dalam kenyataan mempertahankan keputusan itu berkata, ‘nolle prosequi’ telah diamalkan dalam kes-kes lain apabila menerima representasi daripada pihak peguam dan setelah menemui keterangan baru atau apabila keterangan menjadi lemah setelah diperiksa balas oleh pihak pembelaan.

Menurut beliau, dalam kes Guan Eng dan Li Koon, terdapat bukti baharu yang tidak dipertimbangkan sebelum ini. – MalaysiaGazette

 

SPRM amat terkejut Lim Guan Eng bebas