BALAKONG – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengharapkan 100 peratus anggota dan pegawai polis keluar mengundi awal di pusat mengundi Kuarters Balai Polis Seri Kembangan pagi ini.
Timbalan Pengerusinya Tan Sri Othman Mahmood berkata, seramai 31 anggota dan pegawai polis berdaftar sebagai pengundi awal di kawasan tersebut.
Katanya, tidak ada masalah untuk anggota polis untuk mengundi awal memandangkan hanya bilangan kecil anggota sahaja berdaftar.
“Proses undi awal yang berlangsung agi ini berjalan dengan sempurna tanpa masalah.
“Di tempat ini ada 31 orang anggota polis mengundi. Setakat ini 8.27 pagi tadi saya difahamkan dah 17 orang keluar undi.
“Mungkin sebahagian lagi tengah hari mengundi kerana pusat ini akan ditutup 12 tengah hari ini “ katanya kepada pemberita di sini.
MalaysiaGazette difahamkan setalat pukul 9.13 pagi, seramai 29 orang anggota polis telah selesai mengundi.
Terdahulu beliau bersama barisan ahli Suruhanjaya SPR melawat pusat mengundi awal itu untuk memantau proses kelancaran mengundi yang dibuka 8 pagi tadi.
Turut hadir dipusat mengundi ialah calon MCA DUN Balakong, Tan Chee Teong.
Othman berkata, walaupun 31 orang didaftarkan mengundi di situ tetapi terdapat anggota polis yang mungkin berpindah ke daerah lain atas tugas.
“Bagaimanapun saya rasa tidak ada masalah untuk mereka datang mengundi dan saya jangkakan kesemua 31 anggota akan keluar selesaikan tanggungjawab masing-masing di sini,” jelas beliau.
Pilihan Raya Kecil diadakan di Balakong ekoran kematian mendiang Eddie Ng Tian Chee yang ditimpa kemalangan ngeri pada 20 Julai lalu.
Dalam Pilihan Raya Kecil DUN Balakong itu, Chee Teong bakal dicabar oleh calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki.
Pada PRU lalu, Eddie Ng telah menang dengan majoriti 35,000 undi menewaskan calon BN dan Pas.