ENGLAND – Lando Norris bakal menjadi pelumba termuda Britain dalam dunia perlumbaan Formula Satu (F1) bagi musim 2019.
Norris merupakan pemuda British yang dipromosikan dari pemandu simpanan dan menyertai Carlos Sainz dalam barisan baharu pasukan McLaren bagi musim depan.
Norris sangat realistik mengenai apa yang dia mampu capai bersama McLaren musim hadapan.
“Syarat pertama ialah mengalahkan rakan sepasukan kamu, selain itu ia akan menjadi tahun yang mencabar.
“Kami bukannya mahu menang atau bersaing dengan Ferrari dan Mercedes.
“Saya dapat memikirkan bagaimana untuk mara selangkah ke hadapan dalam perlumbaan F1 ini musim hadapan,” katanya.
McLaren membuat keputusan untuk membenarkan Norris berlumba menggantikan pelumba Belgium Stoffel Vandoorne yang akan diturunkan di penghujung musim ini.
Dia didakwa ‘bergelut’ bersama pasukan itu dan gagal menyesuaikan diri bersama rakannya Fernando Alonso.
Norris juga yakin perbarisan pelumba baharu itu mampu membawa kejayaan kepada McLaren musim hadapan.
Norris melalui aksi luar biasa yang ditunjukkan dalam perlumbaan Formula Dua berjaya mencuri tumpuan McLaren yang segera memperkenalkan pelumba muda itu dalam pasukan utama F1.
Sepanjang rangking junior, Norris telah meraih pelbagai kejuaraan sehingga dilabel sebagai ‘Lewis Hamilton.’
Ketua Pegawai Eksekutif McLaren, Zak Brown berpendapat bahawa Norris merupakan bintang masa depan pasukan itu dalam dunia F1. – MalaysiaGazette