KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan kontroversi, Jho Low disifatkan Tun Daim Zainuddin sebagai master mind dalam kes penyelewengan 1MDB.
Beliau berkata, pihaknya menerima cerita baharu mengenai Jho Low hampir setiap hari semasa mempengerusikan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) baru-baru ini.
Malah Daim mendedahkan Jho Low juga ada cuba menghubunginya.
“Saya ada cakap masa sidang media kalau Jho Low tak bersalah baliklah Malaysia dan malam itu dia ada telefon saya,” katanya dalam interbiu khas bersama TV3 malam tadi.
Bagaimanapun, Daim mengarahkan pembantunya sahaja bercakap dengan Jho Low.
Terdahulu, Daim juga mendedahkan sebelum PRU-14, Tun Mahathir Mohamad mengarahkannya bersedia mengawal kestabilan ekonomi sekiranya Barisan Nasional (BN) kalah.
“Takut BN kalah kalau kalah, market crash..itu pasal selepas PRU-14 hari Rabu, dia (Tun M) bagi cuti Khamis dan Jumaat kemudian sambung Sabtu dan Ahad.
“Dia appoint CEP to make sure market stabil,” ujar bekas menteri kewangan itu.
Beliau juga mendakwa menerima kejutan selepas mendengar hasil siasatan pihaknya melalui CEP selepas berjumpa dengan pelbagai pihak terutama agensi melibatkan wang kerajaan.
“Perfomance kewangan memang (buat saya) terperanjat. Cerita-cerita kita dengar semua tak betul,” katanya.
Menurut beliau, salah satu sebab ia berlaku kerana Perdana Menteri mempunyai kuasa besar kerana dalam masa yang sama menjadi Menteri Kewangan.
“Kalau bapak masalah, anak pun susah..ia datang dari atas jadi dari dulu saya bagi pandangan PM jangan jadi menteri kewangan,” katanya.
Beliau juga mendakwa kepimpinan lepas bukan sahaja melanggar nilai moral dalam pentadbiran malah sebagai Islam mereka juga melanggar ajaran agama.
Justeru, dalam kepimpinan baharu ini, Daim berharap usaha membasmi rasuah akan dapat dilakukan termasuk mendidik generasi muda.
“100 persen tu tak boleh, Allah sahaja perfect (tapi) dari sekolah kita mesti ajar,” katanya.
Beliau juga mahu rakyat dan kepimpinan kerajaan mendalami Surah Al Fatihah yang mahu umat Islam menuju jalan yang lurus dan bersama-sama mencapai kejayaan.- MalaysiaGazette