Home Nasional Kepentingan Melayu, Bumiputera tetap diutamakan – Mohd Radzi

Kepentingan Melayu, Bumiputera tetap diutamakan – Mohd Radzi

Mohd. Radzi. Md. Jidin
Mohd. Radzi. Md. Jidin

KUALA LUMPUR – Agenda dan pemerkasaan Melayu akan tetap akan menjadi keutamaan walaupun sudah bertukar kerajaan ketika ini.

Namun pelbagai kajian serta penelitian akan dilakukan terlebih dahulu.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin berkata, walaupun pelbagai agenda pemerkasaan telah dilakukan sejak 61 tahun lepas, hasrat untuk terus menaik taraf hidup kehidupan masyarakat Melayu masih tidak tercapai.

Jelas beliau, kerajaan tetap berusaha membentuk agenda pemerkasaan Bumiputera bagi kepentingan golongan ini, malah baru-baru ini telah menganjurkan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan pihak berwajib.

“Kepentingan dan keutamaan untuk masyarakat Melayu dan Bumiputera sebenarnya akan sentiasa menjadi perhatian kita.

“Malah baru-baru ini, penganjuran Kongres Masa Depan Bumiputera diadakan kerana kita mahu mendapatkan maklum balas, resolusi serta pandangan pelbagai pihak berwajib bagi memberi peluang kepada kerajaan kini untuk mengkaji setiap agenda pemerkasaan yang sedia ada.

“Agenda selama 61 tahun tidak semuanya tercapai, kerajaan kini akan melakukan kajian secara mendalam, yang baik kita akan teruskan, yang perlu tambah baik kita akan buat apa yang perlu. Yang perlu dihapuskan dan digantikan dengan yang lebih baik, kita akan lakukan juga.

“Kita perlukan masa untuk melakukan kajian serta penelitian secara menyeluruh, apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan saya tidak sentuh tentang kepentingan Melayu sebaliknya agenda-agenda kita amat komited dalam memastikan untuk terus memperjuangkan golongan bumiputera dan Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika soal jawab lisan sesi Dewan Negara sebentar tadi.

Mohd Radzi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, Datuk Bashir Alias yang mahu pihak Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menyatakan apakah bentuk program yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup orang Melayu dan golongan Bumiputera. – Malaysia Gazette