Home Utama Ada pegawai kerajaan masih setia kepada Najib

Ada pegawai kerajaan masih setia kepada Najib

Tun Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir mendedahkan terdapat segelintir pegawai kerajaan sekarang masih setia kepada Datuk Seri Najib Razak sehingga cuba ‘menjejaskan’ pentadbiran Putrajaya.

Lebih malang apabila penjawat awam yang dipertanggungjawabkan membuat bayaran gaji kepada pegawai-pegawai lantikan Pakatan Harapan (PH) di kementerian tertentu tidak berbuat demikian.

“Masih ada orang yang elak daripada melaksanakan keputusan-keputusan kerajaan kita (PH). Ada juga pegawai yang masih setia kepada Datuk Seri Najib.

“Apabila kita lantik pegawai-pegawai tertentu bagi setiap kementerian, setiap menteri mendapat pegawai tertentu, walaupun diluluskan oleh saya, tetapi mereka tidak dibayar gaji.

“Sehingga kita dapat tahu selama empat bulan gaji tak dibayar kerana pegawai bertanggungjawab ini berpendapat bahawa ada pegawai-pegawai tak kena kononnya dalam pelantikan ini.

“Tetapi setelah kabinet membuat keputusan akan bertindak, maka barulah gaji dibayar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan PH di bangunan Yayasan Selangor hari ini.

Mahathir selaku Pengerusi PH juga berkata, masih terdapat penjawat awam yang tidak dapat menerima pelantikan pegawai-pegawai dalam kerajaan baharu.

“Kita nampak dalam jentera pentadbiran ini ada orang-orang yang agak liat tak nak terima pelantikan kerajaan baharu ini, mereka masih terpengaruh dengan kerajaan lama.

“Entah pasal apa saya pun tak tahu, tapi ada juga orang yang liat. Sebab itu untuk melicinkan pentadbiran, kita perlu ubah jawatan atau gugurkan sesetengah daripada pegawai ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette