Home Politik Chee Teong anggap Siew Ki macam adik sendiri

Chee Teong anggap Siew Ki macam adik sendiri

Tan Chee Teong
Chee Teong dan Siew Ki bermesra ketika bertembung semasa berkempen di pasar pagi Kampung Baru, Pekan Batu 11 di sini, hari ini.

BALAKONG – Calon MCA, Tan Che Teong menganggap lawannya dari DAP, Wong Siew Ki sebagai ‘adik kandungnya’ sendiri.

Malah, beliau berasa gembira kerana dapat bersaing dengan calon Pakatan Harapan (PH) itu pada pertandingan bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong yang akan berlangsung esok.

“Siew Ki lebih muda daripada saya. Jika beliau dipilih sebagai wakil rakyat, saya pasti akan membangkitkan isu setempat.

“Jika saya pula menang, saya berharap beliau akan mencari saya untuk mengutarakan isu, biar saya berusaha menyelesaikannya,” katanya.

Chee Teong berkata demikian ketika ditemui semasa berkempen di pasar pagi Kampung Baru, Pekan Batu 11 hari ini.

Beliau berkata, pertandingan antara mereka berdua berjalan secara adil dan bersih tanpa dicemari perkara-perkara berunsur negatif.

Dalam pada itu, Chee Teong yang merupakan peniaga barangan logam berkata, MCA juga mengalu-alukan pengundi di Balakong untuk mengundinya bagi memastikan berlaku proses semak dan imbang di DUN Selangor.

“Sistem semak dan imbang sesuai pada era baharu ini. Jika rakyat fikir saya lebih sesuai berbanding Siew Ki, undilah saya. Pengundi harus pilih wakil rakyat yang berani bersuara memperjuangkan hak mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, jenteranya telah berkempen habis-habisan sepanjang tempoh 21 hari dan esok merupakan hari penentuan.

“Saya merupakan calon MCA yang julung kali menggunakan logo parti sendiri pada PRK, tanggungjawab yang saya pikul amat berat, tetapi saya tetap meneruskan perjuangan demi rakyat,” katanya.

Jelasnya, beliau telah berjumpa lebih 3,000 penduduk sehari sepanjang tempoh berkempen. – MalaysiaGazette