PETALING JAYA – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar bersedia bila-bila masa sahaja untuk mengisytiharkan hartanya.
Beliau berkata, tindakan itu akan dilakukannya jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memintanya berbuat demikian.
“Setakat ini saya belum menerima apa-apa arahan dari SPR supaya mengisytiharkan harta. Soal dia (Dr. Halimah Ali) nak umum aset dia, itu dia punya pasal. Saya hanya akan isytiharkan jika SPR yang minta berbuat demikian,” katanya pada sidang media harian di Bilik Gerakan Utama di Kelana Jaya hari ini.
Semalam, Pas dan UMNO bersetuju menggesa dua calon yang bertanding pada PRK DUN Seri Setia mengisytiharkan aset masing-masing sebelum hari mengundi, Sabtu ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yang mahu Halimah dan Halimey berbuat demikian sehingga tengah malam esok.
Menurut Halimey, beliau tidak pelik dengan pelbagai cabaran dilakukan parti lawan dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan kemenangan.
Sementara itu, secara menyindir, Halimey meminta Halimah menyatakan kepada pengundi di pusat mengundi mana beliau akan keluar mengundi esok.
“Sudah tentu saya akan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Lindungan, jam 8.30 pagi esok. Kalau dia (Halimah) tidak dapat memberitahu tempat mengundinya, bermakna dia bukan anak tempatan sedangkan pengundi mahukan anak tempatan menjadi wakil rakyat mereka,” katanya.
Katanya, bagaimana calon Pas boleh menyatakan mereka dekat dengan rakyat, sedangkan beliau bukan penduduk tempatan berbanding dirinya yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat setiap masa. – MalaysiaGazette