Home Utama Armada kecam penahanan mahasiswa protes pelantikan Maszlee

Armada kecam penahanan mahasiswa protes pelantikan Maszlee

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 OGOS 2018
Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malayasia mengecam tindakan penahanan mahasiswa yang melakukan protes aman mendesak Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang didakwa dilakukan atas arahan Kementerian Pendidikan.

Protes aman oleh sekumpulan aktivis penuntut itu diadakan di bangunan Kementerian Pendidikan.

Penahanan itu dilakukan selepas pegawai tadbir kementerian berkenaan membuat laporan polis.

Exco Pendidikan Armada PPBM, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir kesal apabila dimaklumkan Penasihat Khas Dr. Maszlee iaitu Wan Saiful Wan Jan turut membuat kenyataan bercanggah dalam naratif ugutan sewaktu menemui mahasiawa terbabit sekitar jam 11 malam tadi yang kononnya tangkapan mungkin akan dilakukan oleh pihak polis.

Wan Jan juga mendakwa tangkapan itu tiada kena mengena dengan Kementerian Pendidikan.

Ashraf mempersoalkan penahanan mahasiswa itu kerana Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan bahawa setiap warga negara bebas untuk berhimpun secara aman.

Protes itu dilakukan bagi mendesak Dr Maszlee melepaskan jawatannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurutnya, mahasiswa yang mendesak perletakan jawatan Dr. Maszle ternyata berhemah dalam menyatakan desakan mereka pada protes aman tersebut.

Mereka tidak melakukan kekecohan, sebaliknya hanya ‘duduk dan bantah’, malah mengikut segala arahan dan memberikan kerjasama baik kepada pegawai kementerian dan juga pihak berkuasa yang berurusan dengan mereka.

“Namun amat menyedihkan apabila protes aman ini berkesudahan dengan mahasiswa ini akhirnya ditahan sekitar jam 2 pagi sehingga jam 7.30 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mnurut Ashraf, sekiranya polis mahu mengambil kenyataan mahasiswa, polis boleh meminta untuk mahasiswa terlibat untuk hadir ke balai untuk diambil keterangan, bukannya melakukan intimidasi berupa tangkapan.

“Tindakan penahanan melalui ‘arahan pihak kementerian’ (dimaklumkan bukan arahan menteri, Menteri juga masih di Sarawak) ini wajar dikecam dalam semangat Malaysia Baru!.

“Bukan sahaja ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, malah protes ini berlangsung dengan aman tanpa sebarang provokasi apatah lagi perbuatan yang melampau!

“Ditambah suara mahasiswa punyai hak untuk diperkasakan sebagai ‘periksa dan imbang’ terhadap kerajaan dalam mengambil sudut pandang intelektual,” tegasnya sambil mempersoalkan mana ‘Rule of Law’ yang dijadikan ‘mantra’ Kerajaan Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette