PETALING JAYA – Cuti panjang hujung minggu ini antara perkara yang menakutkan calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Halimey Abu Bakar susulan peratusan keluar mengundi yang rendah di bawah 50 peratus.
Halimey berkata, walaupun beliau mensasarkan peratusan keluar mengundi sehingga 60 peratus lebih tinggi berbanding PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu, namun keputusan PRK Seri Setia hari ini mencatatkan hanya 44.1 peratus.
“Peraturan keluar mengundi rendah, saya sasar 60 peratus, tapi akhirnya yang keluar hanya 44.1 peratus.
“Saya selalu beritahu pengundi Sabtu Ahad Isnin dan Selasa adalah hari bercuti panjang dan ini menakutkan kita dan betul-betul menakutkan kita, hasilnya 44.1 peratus.
“Ini adalah masalah cuti yang panjang dan cuaca pula tidak mengizinkan hari ini antara faktornya. Kita sudah buat kerja dengan sebaik mungkin,” katanya pada sidang media di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.
Terdahulu Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) N32, Datuk Azizi Mohd Zain mengumumkan Keputusan PRK Seri Setia di pusat penjumlahan undi di Dewan Sivik MBPJ tepat jam 9 malam tadi.
PH berjaya mempertahankan kerusi N32 dalam PRK Seri Setia apabila calonnya, Halimey menewaskan calon Pas, Dr Halimah Ali dengan majoriti 4,027 undi.
Dalam pertandingan satu lawan satu itu, Halimey memperoleh 13,725 undi manakala Halimah pula hanya mendapat 9,698 undi.
Halimey juga berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah itu bukan disebabkan oleh boikot kerana kegagalan PH menunaikan janji 100 hari dalam manifesto PRU14 lalu.
“Saya mengekalkan kemenangan Pakatan Harapan di DUN Seri Setia, ini adalah kemenangan rakyat semua.
“Saya tidak fikir isu boikot atau isu 100 hari PH,” katanya.
Ditanya tentang perkara pertama yang bakal dilakukan sebaik sahaja bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia baharu, beliau berkata pusat khidmat masyarakat sedia ada akan dinaik taraf untuk keselesaan rakyat.
“Insya-Allah saya akan tambah baik lagi dan itu (tugas) pertama kita betul-betul nak cantikkan pusat khidmat ini dan maklum kepada semua pengundi Seri Setia pusat khidmat kita akan dibuka dengan lebih cantik lagi,” katanya.
Mengulas janji manifesto peribadi menangani masalah Projek Perumahan Rakyat (PPR), beliau berkata perkara itu akan diambil tindakan segara dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan kadar segera.
“Selepas ini saya akan berbincang dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Exco Perumahan Selangor Haniza Talha untuk kerja-kerja tambah baik.
“Kita akan bincang peranan KPKT dan Kerajaan Negeri Selangor, saya sedia menjadi penghubung antara penduduk dengan Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Pusat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette