Home Utama Diskaun tol ganti hapus tol?

Diskaun tol ganti hapus tol?

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, salah satu perkara yang diberi perhatian selepas menerima jawatan menteri ialah berkenaan penghapusan tol seperti yang dijanjikan.
Arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Pemberian diskaun dan rebat tol kepada pengguna lebuh raya sedang dikaji selepas kerajaan menundakan pelaksanaan janjinya untuk menghapuskan tol.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, salah satu perkara yang diberi perhatian selepas menerima jawatan menteri ialah berkenaan penghapusan tol seperti yang dijanjikan.

Beliau bagaimanapun berkata, keadaan kewangan kerajaan pada masa ini menyebabkan penghapusan tol sukar dilaksanakan, sehingga pemberian diskaun dan rebat perlu dikaji sebagai alternatif.

Katanya kepada China Press, antara kemungkinan yang sedang dikaji ialah tawaran istimewa kepada pengguna lazim lebuh raya, tetapi kejayaan cadangan ini bergantung kepada keputusan syarikat konsesi dan syarikat Touch N Go.

Baru berkata, Kementerian Kerja Raya juga berhasrat untuk menundakan kenaikan harga tol walaupun kerajaan mempunyai kewajipan membenarkan peningkatan mengikut kontrak yang ditandatangani dengan syarikat konsesi.

“Matlamat akhir kami ialah menghapuskan tol, tetapi ini hanya boleh dilaksanakan selepas keadaan kewangan kerajaan bertambah baik,” katanya.

Ditanya sama ada Lebuh Raya Trans-Borneo akan disiapkan mengikut jadual, Baru berkata, ia merupakan satu lagi fokus kementeriannya.

Katanya, pihak Kementerian sedang berbincang dengan rakan usahasama selepas kerajaan mengumumkan pada bulan lepas bahawa kos pembinaan lebuh raya tersebut akan dikaji semula.

Baru pada masa yang sama mendedahkan bahawa kerajaan sedang berdepan masalah kekurangan dana untuk menyelenggara jalan raya.

Jelasnya, sebanyak RM2 bilion diperlukan untuk menyelenggara jalan raya setiap tahun, tetapi kementerian hanya menerima peruntukan antara RM200 juta hingga RM800 juta iaitu kurang daripada 50 peratus jumlah yang diperlukan. – MalaysiaGazette