KUALA LUMPUR – Kenaikan gaji minimum dari RM1,000 kepada RM1,050 oleh kerajaan mulai tahun depan adalah terlalu rendah terutama sekali di kawasan bandar.
Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) berkata, kenaikan sebanyak RM50 itu sememangnya rendah daripada yang dijangkakan.
Lantaran itu, NUFAM mengharapkan kerajaan mengkaji semula isu kenaikan gaji minimum ini dengan mengambil kira isu kos sara hidup.
“Ramai pekerja ini telah mengharapkan daripada kerajaan lama tetapi isu ini masih gagal diselesaikan.
“Jadi jika isu ini jika tidak ditangani akan membawa ke arah persepsi negatif terhadap kerajaan baru,” katanya di sini yang menyifatkan sepatutnya kenaikan gaji minimum kan memberi motivasi tinggi kepada seluruh kaum pekerja terutama kepada golongan B40.
NUFAM berpendirian kemampuan untuk syarikat di dalam negara ini untuk membayar gaji minimum tidak akan memudaratkan mereka kerana pekerja itu adalah aset.
Aset ini adalah satu pelaburan penting kerana mereka juga diperlukan untuk menaikkan taraf dan prestasi syarikat ke arah lebih tinggi.
NUFAM tidak menafikan isu ini mungkin rumit buat kerajaan tetapi ia boleh diperhalusi lagi.
“Ruang untuk memperbaiki masih ada dan tidak terlambat.
Berjuta pekerja sudah mendahagakan satu pembaharuan kerana mereka telah lama dibebankan oleh isu kos sara hidup yang tinggi.
“NUFAM yakin semua pihak boleh mencari titik penyelesaian dalam isu kos sara hidup khususnya isu kenaikan gaji minimum,” katanya walaupun secara realiti, bukan semua pekerja terlibat di dalam krisis kenaikan gaji minima ini kerana ada yang telah mendapat lebih dari paras gaji minimum yang diumumkan.
Kenaikan gaji minimum ini hanyalah satu ukuran untuk kerajaan membantu majikan dan pekerja mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan kos sara hidup kaum pekerja memandangkan ramai pekerja yang bekerja hari ini tidak mendapat gaji yang sama rata.
“Ada yang lebih dan ada yang kurang. Yang berpendapatan kuranglah kita harus bantu dan jaga sebenarnya,” ujar NUFAM.
Kesatuan ini turut mencadangkan kerajaan membuat satu kajian sebelum gaji minimm ini dilaksanakan berpandukan status ekonomi negara dan juga prestasi syarikat yang mempunyai ramai pekerja.
Tanggungjawab ini juga harus dipikul oleh majikan pekerja itu sendiri kerana merekalah yang boleh menentukan prestasi syarikat mereka.
“Jika prestasi syarikat itu merundum maka perlaksanaan kenaikan gaji itu boleh tergendala.
Satu lagi isu yang harus diberi keutamaan adalah kesatuan di tempat kerja boleh memainkan peranan dan menentukan kos kenaikan gaji di dalam syarikat masing masing.
“Perjanjian Kolektif (CA) boleh menangani masalah kenaikan gaji kerana ia akan membantu pekerja dan juga syarikat secara positif.
Kesatuan pekerjalah harus memainkan peranan besar untuk menentukan had kenaikan gaji ini melalui rundingan.
Inilah masanya untuk menggunakan kuasa perjanjian CA untuk menentukan kenaikan gaji jika perlu,” menurut NUFAM.
Tanpa perjanjian kolektif atau satu memorandum perjanjian, isu kenaikan gaji tetap akan ada di mana-mana syarikat.
Apa yang kerajaan lakukan hari ini hanyalah untuk menaikan asas gaji minimum lama tetapi ia tidak semestinya menghadkan mana-mana syarikat atau majikan untuk membayar pekerja dengan gaji yang lebih.
Jika syarikat yang berkemampuan ini ingin memerlukan pekerja mereka berkerja keras dan lebih efisien, maka kenaikan gaji dan elaun harus diberi keutamaan. Inilah cara yang paling efektif sekali.
Ini sebenarnya tanggungjawab semua syarikat yang betul-betul sensitif terhadap keperluan pekerja mereka,” kata NUFAM. – MalaysiaGazette