Home Ekonomi Kontrak niaga FTSE diramal dalam aliran menurun

Kontrak niaga FTSE diramal dalam aliran menurun

Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR –  Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka berada dalam aliran menurun minggu depan ketika pasaran mungkin mencerna impak perang perdagangan AS-China ke atas Malaysia, kata peniaga.

Beliau berkata, walaupun sentimen pasaran negatif, keseluruhan prestasi pasaran niaga hadapan pada minggu yang baru berakhir lebih lemah, dengan pelabur tidak memasuki pasaran berikutan cuti hujung minggu yang panjang pada minggu lalu dan minggu depan.

Pasaran ditutup pada 31 Ogos (Jumaat) sempena cuti Hari Merdeka dan akan ditutup pada 10 dan 11 Sept (Isnin dan Selasa) untuk Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong serta dan Awal Muharam, iaitu tahun baharu Islam.

Pada asas Khamis ke Jumaat, September 2018 jatuh 12.5 mata kepada 1,791.0, bulan kontrak baru Oktober 2018 berada pada 1,786.0, Disember 2018 susut 18.5 mata kepada 1,782.0 dan Mac 2019 merosot 22 mata kepada 1,775.0.

Jumlah dagangan menurun kepada 33,488 lot daripada 81,067 lot manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 27,437 kontrak daripada 40,070 kontrak.

Berbanding hari Khamis lepas, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI ditutup 20.49 mata lebih lemah kepada 1,799.17 pada Jumaat. – MalaysiaGazette