KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendakwa kesemua mahasiswa yang melakukan protes terhadap pelantikannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah diberi layanan baik.
Menurutnya, meskipun beliau dimaklumkan kesemua yang terlibat adalah pelajar, tetapi maklumat terperinci menunjukkan sebahagian mereka adalah aktivis daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan.
“Sepanjang berada di Blok E8 kementerian itu, kumpulan yang memprotes telah diberi layanan yang baik dan pandang mereka diambil maklum oleh pegawai-pegawai saya.
“Saya juga telah mengarahkan Penasihat Khas, Wan Saiful Wan Jan sendiri untuk bertemu dengan mereka pada waktu petang dan malam dan saya memberi jaminan akan bertemu mereka secepat mungkin untuk mendengar pandangan mereka.
“Saya telah meminta pegawai untuk mengaturkan masa sesuai pada hari Rabu untuk bertemu dengan kumpulan yang mengadakan protes itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Maszlee kini berada di Kuching.
Menteri itu berkata, meskipun pegawai-pegawainya sudah mendengar isu dan memberi jaminan beliau akan bertemu dengan mereka, kumpulan protes itu terus duduk di tangga masuk bangunan berkenaan dan bertegas tidak akan bergerak selagi beliau tidak melepaskan jawatan.
Bagaimanapun, pada sekitar 11 malam, kumpulan protes bergerak keluar dari kawasan kementerian dan membentang tikar di hadapan pagar masuk utama Parcel, yang merupakan lokasi bagi pelbagai kementerian.
Katanya, sekitar 11.30 malam, pegawai kementerian cuba memujuk mereka agar bersurai atau kembali ke kawasan kementerian kerana pagar utama adalah kawasan awam pelbagai kementerian.
Namun mereka enggan bersurai dan tidak mahu kembali ke kawasan Kementerian Pendidikan, yang diberi jaminan mereka boleh mengadakan protes dengan aman.
Bagi mengelakkan sebarang kemungkinan, polis telah menasihatkan mereka tidak menjalankan protes di hadapan pagar utama atas faktor keselamatan namun mereka masih enggan.
Maszlee berkata, polis mengambil tindakan untuk menyuraikan protes sekitar 2 pagi.
Beliau mendakwa, majoriti anggota kumpulan yang memprotes bersetuju untuk bersurai kecuali dua orang yang di siasat oleh polis.
“Meskipun ditahan, pegawai-pegawai saya atas sifat kemanusiaan dan mengambil berat akan kebajikan dua mahasiswa terus mengadakan perbincangan dengan polis di Putrajaya hingga 7 pagi tadi agar membebaskan mereka.
“Mereka akhirnya dibebaskan dengan jaminan awal pagi tadi,” ujarnya. – MalaysiaGazette