Home Nasional Perhimpunan protes Guan Eng jadi tegang

Perhimpunan protes Guan Eng jadi tegang

KUALA LUMPUR – Perhimpunan aman ‘Majlis Pengebumian Institusi Peguam Negara’ bertukar menjadi tegang selepas mereka dipercayai bertindak cuba melawan polis yang sedang mengawal keadaan di hadapan sebuah kompleks membeli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, malam ini.

Kekecohan berlaku apabila kumpulan tersebut yang diketuai Presiden Pemantau Malaysia Baru Datuk Lokman Noor Adam cuba beralih tempat perhimpunan ke pusat Campbell tetapi dihalang pasukan keselamatan itu.

Perhimpunan itu dianjurkan sebagai protes terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang baru-baru ini, melepaskan dan membebaskan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon daripada tuduhan rasuah melibatkan pembelian lot tanah dan sebuah banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang.

Mereka juga menggesa Peguam Negara Tommy Thomas agar meletak jawatan kerana dakwaan menyalahgunakan kuasa dalam kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah berkata penganjur tidak memberi sebarang notis mahupun mendapatkan permit bagi mengadakan perhimpunan itu.

Beliau berkata pada masa ini, pihaknya hanya memantau dan mengawal keadaan tetapi tiada sebarang tangkapan dibuat.-BERNAMA