Home Utama Saifuddin, Syed Saddiq antara yang bantah penahanan mahasiswa

Saifuddin, Syed Saddiq antara yang bantah penahanan mahasiswa

Pelajar yang ditahan kerana berdemonstrasi membantah pelantikan Maszlee Malik sebagai Presiden UIAM.
Pelajar yang ditahan kerana berdemonstrasi membantah pelantikan Maszlee Malik sebagai Presiden UIAM.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan penahanan golongan mahasiswa yang melakukan protes aman malam tadi tidak sepatutnya berlaku.

Ahli Parlimen Muar itu turut mendesak pihak berkuasa membebaskan mahasiswa itu dengan segera.

Jelas beliau, kerajaan baharu hari ini tidak boleh lari daripada kritikan dan golongan mahasiswa mempunyai hak untuk bersuara.

“Ini tidak sepatutnya berlaku. Ia tidak boleh bertolak-ansur. PDRM mesti segera melepaskan mereka dan memastikan ini tidak akan berlaku lagi.

“Pelajar-pelajar ini mempunyai hak untuk membantah dan menyatakan ketidakpuasan mereka kepada kerajaan baru ini.

“Kita tidak boleh dilindungi daripada kritikan,” tulisnya di laman sosial Twitter miliknya hari ini.syed

Syed Saddiq yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengulas tindakan penahanan mahasiswa yang melakukan protes aman mendesak Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek meletakkan jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa di hadapan Kementerian Pendidikan sejak pagi semalam.

Protes aman itu berakhir dengan mahasiswa tersebut dikenakan tahanan pukul 2 pagi sehingga 7.30 pagi hari ini.

Beberapa rakan mahasiswa dalam kelompok yang ditahan turut memaklumkan bahawa pihak polis menahan mereka kerana arahan yang dikeluarkan pihak kementerian melalui laporan polis.

Sementara itu, Saifuddin Abdullah dalam laman Twitter turut membantah penahanan mahasiswa tersebut.

Kata Menteri Luar itu, walaupun tidak mencampuri urusan pelantikan Maszlee sebagai Presiden UIAM namun beliau mempertahankan hak pelajar untuk memprotes. – MalaysiaGazette