KUALA LUMPUR – Pelakon Elfira Loy menjelaskan dia tidak melihat keperluan untuk menjelaskan apa-apa perkara yang berlaku terhadap dirinya.
Menerusi Instagramnya, wanita berusia 24 tahun itu memberitahu, apa yang terjadi adalah ujian daripada Allah untuk menjadikan seorang wanita kuat.
“Allah perancang yang terbaik. Saya ada banyak perkara yang ingin ditulis pada kapsyen, saya taip dan padam kapsyen yang panjang untuk menjelaskan perkara yang berlaku kepada saya.
“Tapi, saya tidak nampak apa keperluan saya untuk berbuat demikian. Ujian Allah membuatkan saya seorang wanita yang kuat dan sabar tentang semua,” tulisnya yang kini berada di Paris.
Minggu lalu dikhabarkan Elfira melangsungkan pertunangan dengan seorang lelaki bernama Faris Khairol Anuar.
Bagaimanapun, sehingga kini dia dan keluarga tidak mengesahkan perkara berkenaan.
Sementara itu, pada Khamis lalu, dia sekali lagi dihimpit kontroversi apabila muncul pula seorang wanita meninggalkan komen meminta Elfira melangsaikan segala hutang yang didakwa dibuat oleh adiknya, Ahmad Ezzrin Loy.
Dalam pada itu, pelakon drama Qalesya itu menambah, dia percaya penjelasan dan jawapan sebenar akan diketahui apabila sampai masanya.
“Saya hanya perlu berdoa lebih kuat
kerana hanya hanya Allah sahaja yang boleh mengubah segalanya bukan kamu,” tulisnya lagi. – MalaysiaGazette