BANGI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong yang baharu, Wong Siew Ki berhasrat memulakan tugasnya sebagai wakil rakyat esok.
Dalam sidang medianya selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan sebentar tadi, Siew Ki yang ditemani Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau akan melihat segala projek yang ada dan terbengkalai di kawasannya ketika ini.
“Esok saya akan lihat segala projek-projek yang ada di kawasan saya. Saya akan buka semua fail dan nak pastikan tiada projek yang menyusahkan rakyat,” katanya.
Menurut Siew Ki, dalam tempoh lima tahun ini beliau berjanji akan bekerja keras dan mengharapkan pengundi-pengundinya memberi sokongan kepadanya untuk menunaikan tanggungjawab baharu itu.
Meskipun banyak faktor yang telah menyebabkan jumlah undinya tidak seperti disasarkan namun beliau akan memastikan Pakatan Harapan tidak akan mengecewakan semua pihak terutamanya penduduk di Balakong.
“Ini bukan satu penamatan tetapi permulaan kepada saya untuk memulakan tugas,” ujarnya.
Siew Ki berjaya menewaskan pencabarnya Tan Chee Teong dari parti MCA dengan majoriti sebanyak 18,533.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Balakong, Datuk Rosli Othman kira-kira jam 8.50 malam tadi di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Demesne, Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi di sini.
Siew Ki mendapat sebanyak 22, 508 undi manakala Tan Chee Teong dari MCA hanya memperoleh sebanyak 3, 975 undi.
Kemerosotan jumlah undi yang diperolehi Siew Ki dipengaruhi faktor pengundi yang keluar mengundi hanya 43 peratus daripada 62, 219 pengundi berdaftar.
PRK Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya, Eddie Ng pada 20 Julai lalu akibat kemalangan jalan raya.
– MalaysiaGazette