KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sewajarnya tidak lagi melenggahkan siasatan ke atas tindakan tiga individu pro-Pakatan Harapan (PH) yang didakwa memperlekeh, menghina dan mengaibkan Yang di-Pertuan (YDP) Agong.
Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam berkata, tindakan ketiga-tiga individu terbabit bercanggah dengan Seksyen 3 (1a dan d) dan Seksyen 4(1 a, b, dan c) Akta Hasutan 1948.
“Berdasarkan prinsip rule of law, kami meminta tindakan selanjutnya diambil oleh pihak polis termasuk mendakwa ketiga-tiga individu ini.
“Tindakan arif dan lekas daripada pihak polis dalam mengendalikan isu ini adalah sangat penting bagi mengelak pihak-pihak lain daripada memandang ini sebagai satu kelemahan dalam sistem perundangan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Lokman bersama badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Bangkit, Charm dan Pemuda MIC Wangsa Maju membuat laporan polis ke atas Tamrin Ghaffar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kerana menghina YDP Agong.
Dua lagi individu yang melakukan penghinaan sama ialah penasihat media dan komunikasi di Pejabat Perdana Menteri, Datuk A.Kadir Jasin dan aktivis Hishamuddin Rais masih tidak diambil tindakan sejak Mei lalu.
Lokman juga berkata, laporan polis sama telah dibuat ke atas A.Kadir di Bandar Saujana Utama pada 30 Mei lalu manakala laporan kedua ke atas Hishamuddin pula pada 7 Jun lalu.
“Jika Tamrin Ghafar, Kadir Jasin dan Hishamuddin Rais didapati bersalah, mereka bertiga sewajarnya perlu dihukum mengikut undang-undang negara,” katanya.
Lokman berkata lagi, pihaknya turut membantah sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan PH sejak kebelakang ini yang didakwa menyekat pembangunan dan akitiviti dakwah serta pengajaran Islam.
“Ini dicerminkan dari kenyataan Kerajaan PH mengesa rakyat menghormati perbuatan maksiat LGBT secara tertutup; menutup atau merombak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hingga mengancam kesinambungan sekolah-sekolah tahfiz.
“Penarikan balik dana untuk membantu dalam membina dan menambah baik masjid-masjid di Pulau Pinang dan Penggerang serta pembuangan beribu pengajar Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bergaji rendah di Kelantan.
“Ini adalah isu yang amat sensitif bagi umat-umat Islam di negara ini dan jelas bercanggah dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette