Home Dunia Jack Ma hanya lepas jawatan Pengerusi Ali Baba tahun depan

Jack Ma hanya lepas jawatan Pengerusi Ali Baba tahun depan

Jack Ma

BEIJING – Pengasas dan antara induvidu terkaya dunia, Jack Ma hanya akan melepaskan jawatan Pengerusi syarikat e-dagang Ali Baba pada September tahun depan dan bukan pada masa terdekat.

Agensi melaporkan, Jack Ma ketika ini sedang dalam proses memastikan proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar sebelum bertindak menyerahkan jawatan beliau kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Daniel Zhang pada 10 September 2019.

Jack Ma dalam kenyataan hari ini berkata, dalam tempoh 12 bulan akan datang beliau akan bertungkus lumus memastikan semuanya berjalan dengan lancar serta berjaya bagi memastikan syarikat Ali Baba milik beliau berterusan memiliki era kegemilangan seperti sekarang.

“Dalam tempoh 12 bulan akan datang ini sangat penting, saya akan memegang jawatan Pengerusi Eksekutif dan bekerjasama dengan CEO saya, Zhang bagi memastikan proses peralihan ini berjaya.

“Selepas 10 September 2019, saya akan kekal sebagai Lembaga Pengarah Ali Baba sehingga mesyuarat pemegang saham tahunan yang dijangka diadakan pada tahun 2020 nanti,” katanya dalam kenyataan.

Akhbar New York Times sebelum ini melaporkan, berdasarkan wawancara bersama Ma, menyatakan hartawan tersebut bercadang mengumumkan persaraannya ketika sambutan hari jadi ke-54 esok dan mahu fokus kepada kerja-kerja kebajikan.

Akhbar terbabit memetik Ma berkata, keputusan itu adalah ‘permulaan era baharu’.

Ma, 54, merupakan seorang guru Bahasa Inggeris sebelum menubuhkan Alibaba pada 1999. Berdasarkan harga saham yang ditutup pada Jumaat lalu, Alibaba direkodkan bernilai sebanyak AS$420.8 bilion (RM1,746 bilion).

Ma melepaskan jawatan CEO Alibaba pada 2013 tetapi kekal sebagai tokoh penting dalam syarikat itu. – MalaysiaGazette