KUALA LUMPUR – Kerajaan menafikan dakwaan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyatakan kerajaan baharu menggunakan peralatan khas untuk mengintip dan mengumpul data rakyat Malaysia.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman turut menafikan kenyataan Tunku Mahkota Johor itu yang mendakwa keluarga Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut diintip dan ‘diperhatikan’.
“Setahu saya tiada arahan seumpama itu keluar, sama ada daripada kepimpinan kerajaan atau mana-mana pihak termasuk kepimpinan PH, tidak ada.
“Jika Tunku Mahkota Johor ada bukti wujudnya intipan seumpama itu, saya harap beliau beri maklumat tersebut kepada kita dan polis,” katanya dipetik Sinar Harian Online.
Mohd Azis berkata, kerajaan sedia menyiasat perkara itu jika benar wujudnya pengintipan seperti yang didakwa.
“Kerajaan menafikan dan jika benar Tunku Mahkota Johor ada maklumat perkara tersebut, kami minta beliau maklumkan kepada kami,” ujarnya.
Semalam, Tunku Ismail membuat dakwaan terbuka bahawa kerajaan sedang memantau beliau serta Sultan Johor menggunakan peranti khas buatan Israel.
Menurut kenyataan tersebut maklumat mengenai pengintipan berkenaan disampaikan kepada Tunku Ismail oleh seseorang, namun identitinya tidak didedahkan.
TMJ juga menjelaskan ramai tentera siber (cybertrooper) diletakkan di akaun Facebook Sultan Ibrahim serta kelab bola sepak JDT.- MalaysiaGazette
Saya dan ayahanda sedang ‘diperhatikan’, ini tidak baik – Tunku Ismail