Home Nasional Kuota 10 peratus rumah mampu milik kepada anggota bomba – Zuraida

Kuota 10 peratus rumah mampu milik kepada anggota bomba – Zuraida

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin.

ALOR SETAR – Kerajaan bercadang memperuntukkan 10 peratus kuota pemilikan rumah mampu milik kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam usaha meningkatkan martabat dan kebajikan anggota pasukan itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, bagaimanapun keutamaan akan diberikan kepada anggota yang berkelayakan dan mempunyai tanggungan yang ramai, ibu tunggal serta memenuhi beberapa kriteria yang akan ditentukan kemudian.

“Memandangkan KPKT menyediakan rumah mampu milik, jadi sudah tentunya saya akan utamakan anggota bomba untuk memberi ruang kuota pemilikan rumah-rumah awam ini untuk dimiliki anggota bomba,” katanya kepada pemberita pada Program Lawatan Rasmi ke Balai Bomba Penyelamat Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

Zuraida menambah, anggota bomba yang terpilih turut akan diberi keistimewaan dalam bentuk deposit pinjaman perumahan dan ianya akan diperincikan lagi selepas ini setelah mengambil kira kedudukan kewangan negara.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru JBPM meningkatkan keanggotaan Bomba Sukarela bagi membantu 14,000 anggota sedia ada dalam kes-kes kecemasan dan bencana alam.

Terdahulu Zuraida melawat Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah yang baharu di Jalan Suka Menanti bernilai RM29 juta yang akan mula beroperasi Oktober ini.

— BERNAMA