LUMUT – Selangor mempamerkan rentak meyakinkan apabila memulakan kempen ibu emas Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-19 dengan membenam Kelantan 4-0 dalam perlawanan pembuka tirai kumpulan D di Stadium TLDM di sini malam Ahad.
Dua gol pada babak pertama dijaringkan oleh Mohd Rusyaidi Rodzi dan Muhammad Azizul Baharuddin masing-masing pada minit ke-35 dan 37.
Berselang separuh masa kedua, Selangor menambah kedukaan Kelantan dengan membolos dua lagi jaringan menerusi tandukan Ariff Ar-Rasyid Ariffin pada minit ke-75 dan dua minit kemudian oleh Shafizi Iqmal Md Khirudin.
Satu lagi aksi pada sebelah petang di venue yang sama, juga dari kumpulan D, menyaksikan Kedah melakar kemenangan 3-0 ke atas Pahang.
Gol sendiri pemain Wan Muhammad Akmal Hakim Abdul Wahab ketika permainan hampir penghujung babak pertama benar-benar membantutkan rentak dan moral pemain Pahang.
Berselang babak kedua, kelonggaran benteng pertahanan Pahang pantas diambil peluang oleh pemain tengah Kedah, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin yang melakar dua jaringan pada minit ke-66 dan 69, sekali gus membawa pulang tiga mata penuh.
Sementara itu, pada aksi Kumpulan C pula di Stadium Mini Parit Buntar malam Ahad, menyaksikan Melaka dan Sabah sekadar terikat 2-2.
Ariusdius Jais menghadiahkan dua gol untuk Sabah pada minit ke-28 dan 53 manakala gol Melaka disumbangkan oleh Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar dan Muhammad Faizal Talib masing-masing pada minit ke-12 dan minit ke-72 Melaka dan Sabah berada dalam Kumpulan C selain daripada Pulau Pinang.
Pada Isnin, Sarawak akan bertemu Negeri Sembilan pada pukul 4.30 petang di Stadium Majlis Perbandaran Manjung dan juara dua kali berturut-turut, Perak akan bertemu Perlis pada pukul 8.45 malam di venue yang sama.
Dalam pada itu Johor akan bertemu Terengganu bagi perlawanan peringkat kumpulan B pada pukul 4.30 petang di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim.
Johor dan Terengganu berada dalam Kumpulan B bagi acara bola sepak selain Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette