KUALA LUMPUR – Untuk kembali sebagai parti yang berkuasa, Barisan Nasional (BN) perlu menjadi sebuah gagasan baharu merangkumi pelbagai kaum dan bangsa.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Nor Adam berkata, pembaharuan itu penting untuk memastikan BN dan UMNO tidak terlalu Islamik dan lebih bersifat liberal.
Katanya, langkah itu dilihat mampu kembali menyatukan semula sokongan komuniti Cina dan India ke arah BN yang telah diracuni dan dirosakkan oleh fitnah dan persepsi negatif yang disebarkan DAP selama 61 tahun ke atas UMNO.
“Selama 61 tahun DAP berjaya mewujudkan persepsi negatif ke atas UMNO kononnya jaga kepentingan Melayu sahaja.
“Kalau nak betulkan balik dan menarik semula sokongan Cina dan India kena ada pendekatan baharu di luar kotak.
“Sebab itu saya mencadangkan BN sendiri menjadi sebuah parti berbilang kaum dengan dianggotai MCA, MIC dan Pas berbilang kaum dengan dipimpin oleh Melayu tetapi keahliannya dibuka kepada semua tanpa mengira bangsa,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab cadangan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Khairul Azwan yang berkata, UMNO dan BN perlu bersifat terbuka dan sederhana sekiranya mahu menarik semula sokongan rakyat berbilang kaum tanpa terlalu Islamik.
Tambahnya, di bawah parti gagasan baharu itu, BN mampu menarik penyertaan masyarakat India dan Cina semula dengan pendekatan khusus itu.
“Kalau perlu bersifat moderate atau liberal, kita tidak boleh tandingi PKR yang terlampau terbuka.
“Kita hilang sokongan Melayu kerana didakwa tidak bersungguh-sungguh membela mereka manakala Cina dan India hilang kepercayaan kepada BN sedangkan UMNO BN selama 61 tahun memerintah berjaya membela semua kaum di bawah satu payung.
“Kini UMNO berjaya tarik semula sokongan Melayu dan ia terbukti menerusi kerjasama dengan Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis dan Seri Setia sekaligus melonjakkan sokongan undi lebih 52 peratus kepada pembangkang walaupun yang rekod keluar undi sekadar 44 peratus sahaja,” tegasnya.