Home Nasional Identiti dua remaja tertimbus dalam runtuhan jambatan dikenal pasti

Identiti dua remaja tertimbus dalam runtuhan jambatan dikenal pasti

BANDAR BAHARU –  Polis telah mengenal pasti identiti dua lelaki yang maut akibat tertimbus dalam runtuhan jambatan di Taman Serdang, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu DSP Barudin Wariso berkata mereka ialah Muhammad Haikal Hakimi Mohd Noor iaitu pembonceng motosikal jenis Yamaha LC135 dan Mohamad Haziq Ishak, sebagai penunggang, kedua-duanya berusia 17 tahun.

Beliau berkata Muhammad Haikal masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Serdang Baru, Serdang manakalanya rakannya Mohamad Haziq sudah tidak bersekolah dan bekerja sebagai pembantu kedai.

“Ketika kejadian mereka berdua menghala ke Taman Serdang dari Pekan Serdang sebelum terjatuh ke dalam runtuhan berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Katanya sebaik kedua-dua mangsa ditemui masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 12.30 tengah malam, mayat terus dibawa ke Balai Polis Bandar Baharu untuk pengecaman oleh anggota keluarga serta waris sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah kira-kira 5 pagi untuk dibedah siasat. – MalaysiaGazette