Home Utama Jamal ada bukti Khir Toyo sertai PPBM

Jamal ada bukti Khir Toyo sertai PPBM

Datuk Seri Jamal Md Yunos
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap pada Ucapan Maal Hijrah di kediamannya, Jalan 4M, Ampang Jaya, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 SEPTEMBER 2018.

AMPANG – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo didakwa sudah  beralih arah daripada UMNO, malah menjadi penaja kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahagian Tanjung Karang.

Perkara itu didedahkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang melahirkan kebimbangannya terhadap perkembangan terbaru itu mengakui salinan borang keahlian PPBM Khir masih dalam simpanannya.

“Mantan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Dr Mohamad Khir Toyo, saya harap berita yang saya dapat anda menjadi penaja PPBM di Tanjung Karang adalah berita tidak benar walaupun ada gambar-gambarnya.

“Walaupun saya dapat borang keahlian beliau, tetapi saya tetap menyimpan salinan borang tersebut selagi beliau belum isytihar, mungkin beliau sudah isi, tapi hati itu masih berbelah bahagi.

“Saya mendoakan beliau tetap dalam perjuangan UMNO kerana UMNO adalah parti yang betul,” katanya pada sidang media khas sempena Maal Hijrah di kediamannya, di sini, hari ini.

Bagaimanapun Jamal enggan mendedahkan salinan borang keahlian Khir kepada pihak media kerana berharap bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu masih teguh dalam perjuangan UMNO.

Sebelum ini, Khir dilihat agak cenderung menyokong kepimpinan Perdana Menteri itu apabila beliau bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir bahawa UMNO telah dikuburkan selepas PRU14 dan PPBM kini mengambil alih tugas menjaga kepentingan orang Melayu di negara ini. – MalaysiaGazette