AMPANGĀ – Pendedahan Tengku Makhkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa ayahandannya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sedang diintip Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu dipandang serius pihak berkuasa.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, insiden itu tidak wajar berlaku terhadap institusi diraja yang sepatutnya dilindungi serta dihormati oleh rakyat di negara ini.
“Ini sesuatu yang serius dan tidak sepatutnya berlaku. Perkara ini perlu pandang serius. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu mempertahankan sultan-sultan kita.
“Walaupun saya anak Selangor, Sultan Johor tetap sultan dalam negara dan masih tetap menjadi sultan saya.
“Kami tetap akan mempertahankan dan akan memandang serius tentang kenyataan yang dibuat oleh TMJ,” katanya pada sidang media khas sempena Maal Hijrah di kediamannya, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tengku Ismail yang mendedahkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diintip kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan peralatan pengintipan buatan Israel.
Tengku Ismail berkata, teknologi ini juga telah diguna pakai oleh pihak tertentu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk membantu dalam perang siber.
Jamal juga berkata, dalam suasana Malaysia baharu, tindakan memantau itu sepatutnya dilakukan Sultan Johor terhadap kepimpinan Kerajaan PH agar tidak berlaku salah guna dan penyelewengan.
“Tidak sepatutnya dan tidak seharusnya pihak kerajaan sekarang ini mengintip apa yang telah dilakukan oleh pihak istana Johor.
“Sepatutnya pihak istana yang mengintip apa yang dilakukan oleh menteri-menteri dan kerajaan pada hari ini supaya mereka ini tidak sewenang-wenangnya (salah guna kuasa).
“Saya amat menyanjung tinggi kenyataan yang dibuat atau kebimbingan yang dikeluarkan oleh TMJ,” katanya lagi. – MalaysiaGazette