Home Nasional KPN ucap takziah atas pemergian pesara polis Datuk Sia Boon Chee

KPN ucap takziah atas pemergian pesara polis Datuk Sia Boon Chee

Mohamad Fuzi Harun
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR- Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini menzahirkan dukacita dan takziah kepada keluarga mendiang pesara polis Datuk Sia Boon Chee yang meninggal dunia pada awal pagi semalam.

Boon Chee menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1.50 pagi di Unit Rawatan Insentif Kardiotorasik Surgeri (CICU) akibat serangan strok.

Kenyataan Mohamad Fuzi menyusul selepas menerima berita kematian Boon Chee.

Mohamad Fuzi berkata, mendiang Boon Chee memasuki perkhidmatan polis pada 1 Oktober 1973 sebelum bersara atas pilihan sendiri pada 13 Mac 1994.

“Pangkat terakhir mendiang sebelum meninggalkan pasukan ialah Timbalan Penguasa di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman,” katanya.

Sebagai mengenang jasa dan pengorbanan beliau dalam mempertahankan keselamatan dan menjaga keamanan negara daripada pengganas komunis, mendiang pernah dianugerahkan Pingat Bintang Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-VII.

Mayat mendiang kini diletakkan di rumahnya beralamat no1, Jalan Bukit Mewah 9/9, Taman Bukit Mewah Fasa 9,Kajang dan akan dibakar di Pusat Xiao En, Jalan Kuari, Cheras pada hari Khamis esok.

Mohamad Fuzi berkata warga PDRM dan seluruh rakyat Malaysia akan sentiasa mengenang dan menyanjung tinggi jasa serta pengorbanan Datuk Sia Boon Chee sesungguhnya, sambil menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar kepada negara.

Beliau mendoakan supaya keluarga mendiang terus tabah menghadapi ketentuan takdir.- MalaysiaGazette