KUALA LUMPUR- Sapura Energy Bhd memeterai Perjanjian Induk dengan OMV Aktiengesellschaft (OMV AG), Austria untuk membentuk kerjasama strategik melalui pengambilalihan pegangan sebanyak 50 peratus dalam anak syarikatnya, Sapura Upstream Sdn Bhd, dengan nilai perusahaan sebanyak AS$1.6 bilion (RM6.63 bilion).
Sapura Upstream terbabit dalam penerokaan minyak dan gas (O&G), menurut Sapura Energy dalam kenyataan hari ini.
“Kerjasama dengan OMV AG itu melengkapi strategi kami untuk mengembangkan portfolio dan meningkatkan kedudukan keluasan kami.
Kedudukan sedia ada OMV AG menawarkan peluang baharu kepada segmen huluan kami dan meningkatkan capaian pasaran bagi segmen perkhidmatan kami di mana OMV beroperasi,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin.
Beliau berkata kedua-dua pihak telah bersetuju untuk meneruskan rundingan yang sedang dijalankan secara eksklusif.
“Dengan bergabung tenaga, kedua-dua pihak akan berada pada kedudukan yang strategik untuk mewujudkan pertumbuhan jangka panjang yang mampan, meningkatkan portfolio dan aktiviti perniagaan pada masa akan datang, selain memastikan sinergi dalam rantaian nilai,” katanya.
OMV AG adalah antara syarikat industri tersenarai yang terbesar di Austria dengan jualan kumpulan sebanyak 20 bilion euro (kira-kira RM96.2 bilion) dan tenaga kerja lebih daripada 20,000 orang.
OMV AG mempunyai asas yang kukuh di Romania dan Austria selain portfolio antarabangsa yang seimbang, dengan Laut Utara, Timur Tengah & Afrika dan Rusia sebagai kawasan teras. Pengeluaran harian pada 2017 sebanyak 348,000 tong minyak bersamaan sehari (boe/d).
Sementara itu, kerjasama berkenaan akan turut meningkatkan kelebihan daya saing Sapura Energy dengan memanfaatkan portfolionya yang kukuh dari segi lapangan gas yang berdaya maju di luar pesisir Sarawak dan keluasannya dalam pasaran baharu di New Zealand, Teluk Mexico dan terbaru, Australia.
Selain itu, OMV AG akan meraih manfaat daripada keupayaan dalaman Sapura Energy.
Sapura Energy telah menilai pelbagai pilihan sebagai sebahagian daripada pelan strategik kumpulan yang lebih luas untuk mengukuhkan perniagaan terasnya, meningkatkan kedudukan kewangan dan mewujudkan nilai yang lebih baik kepada pemegang saham.
“Kami telah mengkaji semua pilihan, termasuk potensi penyenaraian perniagaan huluan kami. Jemputan untuk memeterai kerjasama strategik ini dengan penggiat O&G utama memenuhi matlamat dan aspirasi kami dengan lebih baik, selain memberi kepastian dari segi masa dan penilaian,” kata Shahril.-BERNAMA