Home Ekonomi Sudah empat bulan saya turun tapi ringgit tak naik – Najib

Sudah empat bulan saya turun tapi ringgit tak naik – Najib

Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak bimbang nilai mata wang ringgit terus menyusut meskipun harga minyak dunia meningkat.

Situasi itu tidak selari dengan naik turun ringgit yang banyak bergantung kepada harga minyak dunia.

Jelas beliau, secara amnya, ringgit akan mengukuh apabila harga minyak naik dan begitu sebaliknya.

Bagaimanapun, menurut Najib, trend ini sudah bercanggah kerana walaupun harga minyak AS$78 setong, ringgit tidak mengukuh tetapi tetap turun 30 sen sehingga RM4.15 sekarang.

“Kerisauan saya ialah jika harga minyak dunia turun dengan kuat, maka mata wang ringgit akan menerima impak yang agak teruk.

“Sebelum PRU14, pemimpin Pakatan Harapan (PH) kata “Najib turun, ringgit akan naik”. Saya pelik kerana saya sudah turun 4 bulan tetapi ringgit semakin turun juga,” katanya menerusi Facebook beliau.

Menurut Najib, ketika beliau baharu menjadi Menteri Kewangan, ringgit lemah akibat krisis ekonomi dunia pada masa itu.

Pada masa itu ringgit turun sehingga RM3.75 berbanding dollar Amerika Syarikat dan Tun Dr Mahathir Mohamad menggesanya menambat mata wang tempatan itu seperti yang beliau lakukan pada tahun 1998.

Bagaimanapun, Najib tidak mengambil langkah iyu selepas mengambil kira dan melihat pelaburan asing serta daya saing eksport negara turun ketika ringgit ditambat pada 1998.

Ekoran itu, pertumbuhan ekonomi pada tahun 2000 hingga Dr Mahathir bersara pada akhir 2003 kurang baik.

Disebabkan itu, kata Najib, beliau tidak menambat ringgit pada masa tahun 2008/2009.

Kenaikan harga minyak dunia dan pemulihan ekonomi hasil pakej ransangan ekonomi terbesar dalam sejarah negara mendorong ringgit mengukuh sehingga di bawah paras RM3.00 berbanding dolar Amerika Syarikat pada 2010 hingga 2013, iaitu sebanyak 30 peratus.

Tetapi pakej ransangan ekonomi ini telah menaikkan hutang negara, biarpun langkah itu berjaya menyelamatkan ekonomi Malaysia.

“Tak pernah dalam sejarah Malaysia, mata wang ringgit mengukuh setinggi itu namun jika diimbau kembali, saya tidak pun memuji diri sendiri lantaran ringgit kukuh kerana harga minyak mentah tinggi pada masa itu dan bukan semua berpunca dari usaha Kerajaan Barisan Nasional dan saya,” ujarnya.

Namun pakej ransangan yang dilaksanakan selari dengan kenaikan harga minyak berjaya selamatkan ekonomi kita dari terjerumus dari kemeseletan.

Peliknya, pada PRU13, Pakatan Harapan mendakwa Malaysia akan bankrap biarpun ringgit mengukuh di bawah RM3.00 pada masa itu dan pada PRU14, Pakatan Harapan turut membuat tuduhan yang sama, pada ketika nilai ringgit lebih rendah berbanding PRU13.

Jelasnya, pada masa itu, beliau sekali lagi terima tekanan politik yang hebat dan sebagai ahli politik, langkah paling mudah ialah menambat ringgit.

Namun, banyak negara seperti Czech, Nigeria, Switzerland, Uzbekistan, Azerbaijan, Kazakhstan, Angola dan Morocco telah menolak sistem penambatan mata wang kerana mereka mahu meningkatkan daya saing ekonomi masing-masing.

“Tetapi sebagai Perdana Menteri yang utamakan kekuatan jangka panjang ekonomi dan masa depan negara, saya tidak ambil langkah itu kerana keputusan berdasarkan politik jangka pendek yang tidak betul akan memberi kesan negatif jangka panjang yang teruk kepada negara.

“Sekali lagi, walaupun dikecam teruk saya memilih sekali lagi untuk tidak menambat ringgit. Keputusan saya terbukti betul apabila eksport negara melonjak naik berpuluh peratus setiap bulan dan pertumbuhan ekonomi sangat kukuh pada tahun 2017 sehingga awal tahun 2018.

“Ringgit pula mula memulih dan menguat sehingga tahap RM3.85 pada bulan April 2018 sebelum pilihan raya,” ujar Najib.

Najib berkata, biarpun tempoh beliau sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri serta sehingga berhenti, nilai ringgit turun dari sekitar RM3.75 ke RM3.85 (tidak ditambat) dan dianggap telah gagal oleh segelintir rakyat Malaysia.

Sedangkan Perdana Menteri yang keempat pula dikatakan berjaya apabila ringgit menyusut dari RM2.20 berbanding dolar Amerika Syarikat kepada RM3.80 (ditambat) dari mula beliau mentadbir hingga tamat pada akhir tahun 2003.

“Kebelakangan ini, saya ada sedikit kerisauan tentang nilai ringgit. Saya harap Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil kira kerisauan saya mengenai nilai ringgit sekarang sebelum ia memudaratkan,” katanya. – MalaysiaGazette

+ posts