Home Politik Tiada keperluan kosongkan kerusi untuk beri laluan kepada Anwar

Tiada keperluan kosongkan kerusi untuk beri laluan kepada Anwar

Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KOTA BHARU – Tiada keperluan mengosongkan kerusi Parlimen bagi memberi laluan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk kembali ke Parlimen, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan hanyalah membazir dana kerajaan kerana kos yang digunakan untuk tujuan tersebut menelan berjuta ringgit.

“Kerajaan Malaysia pun tiada duit sehingga terpaksa buka Tabung Harapan, jadi sepatutunya PRK yang disengajakan ini tidak sepatutnya berlaku hanya untuk memenuhi cita-cita seorang individu yang mahu jadi perdana menteri.

“Bagi saya (PRK ini hanya) buang masa dan buang duit sebab satu-satu kos PRK memakan berjuta ringgit dan ini bukan yang pertama. Dahulu Langkah Kajang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

PKR hari ini mengumumkan untuk mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di kawasan tersebut bagi membolehkan beliau kembali ke Dewan Rakyat, seterusnya diangkat menjadi perdana menteri kelapan.

— BERNAMA