Home Utama CEO FGV Holdings digantung tugas

CEO FGV Holdings digantung tugas

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad, Datuk Zakaria Arshad bercakap kepada media mengenai status jawatannya di FGV Holdings Berhad selepas Majlis Pelancaran Insiatif FGV-MPOB dalam menerajui penggunaan B10 di FGV Transport Services Sdn Bhd, Pelabuhan Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 13 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Bhd., Datuk Zakaria Arshad digantung tugas berkuatkuasa hari ini sehingga satu tarikh diberitahu kelak selepas diberikan Notis Inkuiri oleh lembaga pengarah syarikat.

Dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia hari ini, ahli lembaga syarikat perladangan sawit terbesar negara itu berkata, Zakaria diberikan notis berkenaan susulan siasatan dalaman melibatkan 10 isu kritikal di dalam syarikat.

“Kesemua isu-isu tersebut menyebabkan kerugian terhadap FGV dan pemegang sahamnya,” kata syarikat berkenaan.

Tambahnya, operasi FGV akan diteruskan seperti biasa dan buat sementara waktu Jawatankuasa Khas Lembaga Pengarah 2 yang melibatkan empat pengarah syarikat iaitu Pengerusinya, Datuk Azhar Abdul Hamid, Datuk Dr. Salmiah Ahmad, Dr. Mohamed Nazeeb P. Alithambi dan Datin Hoi Lai Ping akan mengambil tanggung jawab Presiden Kumpulan dan CEO.

Semalam, Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menarik balik kontrak Zakaria sebagai Pengarah yang Dilantik Kerajaan.

Kerajaan melalui MoF Inc memegang saham istimewa di dalam FGV.

Semasa sidang media khas 3 September lalu, Azhar dan Pengarah Bebas FGV, Datuk Mohd. Anwar Yahaya menyuarakan ketidakpuasan hati lembaga pengarah terhadap prestasi kewangan syarikat yang dikatakan jauh tertinggal di belakang para pesaing-pesaingnya walaupun memiliki aset yang lebih banyak.- MalaysiaGazette