KUALA LUMPUR – PDRM hari ini mengesahkan bahawa sejumlah AS$972 juta atau RM2.973 bilion dipindahkan ke akaun milik bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, siasatan mendapati jumlah wang itu dipindahkan ke akaun bank AmIslamic menerusi tiga syarikat luar negara.
“Dalam proses penyiasatan ini, sejumlah USD972 juta telah didapati dimasukkan dalam akaun orang kita siasat melalui beberapa fasa iaitu syarikat Woodstar, Aabar dan Tanore.
“Kita telah kenalpasti transaksi yang terlibat lebih daripada 100 transaksi dan kita telah juga kenalpasti individu yang terlibat yang menerima wang daripada transaksi yang saya katakan tadi,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan isu siasatan 1MDB di Bukit Aman petang tadi.
Dalam pada itu, menurut Noor Rashid, polis telah merekodkan keterangan daripada 64 orang, termasuk Najib dan anak perempuannya, Nooryana Najwa.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, nilai barang rampasan dalam siasatan terhadap Najib berjumlah RM900 juta hingga RM1.1 bilion.
Menurut Amar Singh, lapan pasukan khas ditubuhkan melibatkan 150 anggota dan beberapa pakar barangan berjenama yang mengambil masa 36 hari untuk mengira nilai 12,000 jenis barangan kemas dalam 25 daripada 72 beg yang dirampas. -MalaysiaGazette