Home Seni Hidup Tanah Airku Tanah Airmu versi Amy Search

Tanah Airku Tanah Airmu versi Amy Search

KUALA LUMPUR – Lima tahun lalu, Monoloque pernah menampilkan penyanyi kesayangan negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Mat Lela Derhaka menerusi lagu Tanah Airku Tanah Airmu.

Kali ini, lagi tersebut diberi sentuhan dan nafas baharu dengan menampilkan pula rocket tersohor, Amy Search dan kumpulan Pancaragam Nakhoda Mat Lela Derhaka dari Malay College Kuala Kangsar.

Kolaborasi itu dibuat sempena Hari Kemerdekaan ke-61 dan Hari Malaysia.

Lebih menarik, muzik video ini dirakamkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur sebagai peringatan kepada rakyat Malaysia agar tidak melupakan asal-usul dan sejarah tanah air meskipun sentiasa berusaha untuk bergerak maju ke hadapan demi mencapai taraf yang disegani dunia.

Bagi Amy, dia menganggap peluang keemasan untuk merakam sebuah lagu istimewa yang didedikasikan buat Malaysia dan merupakan satu percubaan yang berbaloi.

“Projek ini boleh dikira seperti saat-saat akhir juga kerana LoQue datang bertanya sama ada saya setuju atau tak untuk merakamkan projek istimewa itu.

“Saya pula pada waktu itu agak lapang jadi kenapa tidak? Lagipun ini merupakan satu projek yang sangat bermakna,” katanya.

Sementara itu, lagu Tanah Airku Tanah Airmu boleh dilayari di YouTube saluran cataloQue dan di semua gedung digital seperti Spotify, Apple Music dan sebagainya. – MalaysiaGazette