BEIJING – Restoran popular China, Xiabu Xiabu kerugian AS$190 juta dalam nilai pasaran selepas insiden penemuan seekor tikus dalam hidangannya.
Xiabu Xiabu adalah syarikat senaraian awam.
Sahamnya menjunam ke paras terendah dalam tempoh hampir setahun selepas gambar tikus mati dalam sup yang dimakan oleh seorang wanita mengandung tular di laman sosial.
Cawangan Xiabu Xiabu di Shandong diarahkan tutup untuk sementara waktu.
Restoran di wilayah itu didakwa telah menawarkan pampasan sebanyak 5,000 yuan (AS$729) kepada wanita tersebut.
Wanita itu telah pergi ke restoran berkenaan pada 6 September lalu, menemui tikus dalam hidangan yang sudah pun dimakannya.
Suaminya yang dikenali sebagai Ma dikatakan telah ditawarkan sejumlah wang susulan kejadian itu, bagaimanapun beliau enggan menerimanya sehingga isterinya menjalani pemeriksaan kesihatan.
Ma turut mendakwa salah seorang kakitangan restoran itu mencadangkan isterinya menggugurkan kandungan jika terlalu bimbang akan keselamatan bayi dan menawarkan 20,000 yuan bagi prosedur tersebut. – MalaysiaGazette